AHMAD Maslan ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
AHMAD Maslan ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2022 tidak akan diteruskan kerana tidak mendapat sambutan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana kadar tuntutan bagi skim perlindungan sosial itu terlalu sedikit berbanding peruntukan sebanyak RM354 juta yang disediakan kerajaan.

"Berdasarkan kajian Bank Negara (BNM), hanya 490 individu atau 0.01 peratus daripada 4.9 juta rakyat berpendapatan rendah yang mendapat manfaat daripada program itu... (jumlahnya terlalu sedikit) dilindungi dengan PTV.

"Jadi, kita meneruskan mySalam (yang diperkenal) sejak 2019 membabitkan had umur 21 hingga 65 tahun dan kita beri RM8,000 untuk 45 penyakit kritikal.

"Jika masuk wad (bayaran) RM50 sehari, dengan maksimum 14 hari dan (perlindungan) maksimum RM700," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin mengetahui rancangan dasar jangka panjang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kadar kemiskinan dalam kalangan B40 dikurangkan.

PTV RM75 adalah inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2022 dengan kerjasama industri insurans dan takaful yang bertujuan untuk memanjangkan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan turut meneruskan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diwujudkan sejak 2018 membabitkan individu layak berusia 40 tahun ke atas.

Katanya, kerajaan juga meneruskan bantuan khairat kematian bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Jika meninggal dunia, warisnya akan diberi RM1,000 oleh Kementerian Kewangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 12:51 PM