Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Usahawan diseru supaya memanfaatkan peluang disediakan kerajaan untuk proses peralihan perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan pesat digital ekonomi wajar dimanfaatkan untuk tujuan pengembangan perniagaan.

"Kerajaan akan terus bersedia untuk membantu golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan (AKU) 2022 yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar, di sini, hari ini.

Ismail berkata, sektor perniagaan dijangka terus menyumbang ke arah usaha pemulihan ekonomi negara hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sektor perniagaan terutamanya melalui Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Kejayaan pemulihan sektor PMKS sudah pasti akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara.

"Prospek pemulihan ekonomi negara dijangka akan terus berkembang kesan daripada pembukaan sempadan antarabangsa yang menyumbang kepada aktiviti ekonomi dalam negara," katanya.

Beliau berkata, kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) pada Februari lalu menunjukkan bahawa pembukaan semula ekonomi oleh kerajaan membantu memulihkan semula operasi perniagaan yang terkesan akibat pandemik.

"Prestasi perniagaan juga mencapai tahap lebih baik di mana terdapat peningkatan nilai jualan, permintaan, aliran tunai dan keperluan tenaga buruh selain terdapat impak positif terhadap permintaan guna tenaga negara.

"Sebagai tulang belakang ekonomi negara, pada 2020, PMKS menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 13.5 peratus eksport negara.

"Disebabkan itu, amat penting supaya kerajaan untuk terus memastikan sektor perniagaan membabitkan usahawan tempatan kekal berdaya tahan," katanya.

Menurutnya, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menetapkan fokus utama bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi terutama mempercepatkan transformasi PMKS.

"Ia bagi memastikan sektor PMKS dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK negara dan 25 peratus daripada jumlah eksport negara pada 2025.

"Di bawah Bajet 2022 pula, pelbagai inisiatif dirangka untuk membantu PMKS menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terbabit.

"Saya berharap supaya pembiayaan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion dapat dimanfaat sepenuhnya oleh usahawan PMKS yang layak dan memerlukan," katanya.

Katanya, kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan PMKS demi memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 11:13 PM
Ismail Sabri menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada Norazlan Norbi (dua dari kanan) pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di Hotel Mandarin Oriental. FOTO ASYRAF HAMZAH.
Ismail Sabri menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada Norazlan Norbi (dua dari kanan) pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di Hotel Mandarin Oriental. FOTO ASYRAF HAMZAH.