FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada akhir 2020, bilangan PMKS dianggarkan hampir 1.2 juta, bersamaan dengan 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan.

Namun katanya, sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula selepas terjejas akibat pandemik.

"Oleh itu, kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS dan pada masa sama, PMKS digalakkan untuk meneruskan agenda tranformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik.

"Sukacita saya maklumkan, kerajaan bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMK-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.

"Antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

"Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMK-12," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik juga dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus dan PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 2:36 PM