FRAZIALI Ismail
FRAZIALI Ismail

BANK Negara Malaysia (BNM) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) akan bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa mengenai pembuktian konsep untuk menurunkan kos dan mempercepat pembayaran rentas sempadan.

Dikenali sebagai Projek Nexus, pembuktian konsep itu akan mengkaji kebolehlaksanaan untuk menghubungkan sistem pembayaran masa nyata di Malaysia, Singapura dan kawasan euro.

Projek itu akan membolehkan pelanggan menghantar dan menerima pembayaran rentas sempadan dengan serta-merta dan selamat.

Dapatan kajian yang dijangka diterbitkan menjelang akhir 2022 akan membantu membangunkan satu rangkaian sistem pembayaran masa nyata global pada masa hadapan bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan menjadi lebih pantas dan lancar.

Prototaip yang akan dibangunkan di bawah pembuktian konsep ini belum boleh digunakan oleh orang ramai buat masa ini.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Fraziali Ismail berkata, penyertaan Malaysia dalam Projek Nexus melengkapkan usaha sedia ada negara dalam menghubungkan PP/DuitNow dengan sistem pembayaran masa nyata lain di rantau Asean.

"Jalinan pembayaran antara Malaysia dengan Thailand dilancarkan pada Jun 2021 membolehkan pembayaran rentas sempadan masa nyata menggunakan kod QR antara kedua-dua negara.

"Perkhidmatan yang dipermudahkan oleh jalinan ini akan diperluaskan lagi pada tahun 2022 untuk menyokong pindahan dana masa nyata dengan hanya menggunakan nombor telefon mudah alih.

"Usaha juga sedang giat dijalankan untuk mewujudkan jalinan pembayaran yang sama dengan Indonesia dan Singapura yang masing-masing akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021 dan 2022," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, penyertaan dalam Projek Nexus menggariskan komitmen Malaysia untuk memperteguh infrastruktur pembayaran utama negara demi masa hadapan.

"Berlandaskan kejayaan daripada jalinan pembayaran dua hala dengan negara-negara Asean lain, inisiatif ini akan membuka jalan kepada RPP/DuitNow untuk berhubung dengan sistem pembayaran masa nyata lain di seluruh dunia.

"Usaha ini akan menyokong aspirasi bagi membolehkan sistem pembayaran rentas sempadan menjadi lebih pantas, murah dan mudah diakses kepada penduduk Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, RPP/DuitNow adalah infrastruktur utama untuk memacu pembayaran tanpa tunai dan pendigitalan di Malaysia.

"Kami mengunjurkan kira-kira satu bilion pembayaran masa nyata akan dibuat di Malaysia pada tahun 2021.

"Projek Nexus memberi kami peluang yang unik untuk menyumbang kepada reka bentuk infrastruktur pembayaran generasi masa depan yang teguh.

"Pembabitan kami akan memastikan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan hasil daripada projek ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:15 AM