GAMBAR hiasan. Bank Negara Malaysia. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Bank Negara Malaysia. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) merancang untuk memulakan hubungan bertahap DuitNow Malaysia dan sistem pembayaran masa nyata PayNow Singapura.

Menurut BNM, fasa pertama hubungan DuitNow-PayNow akan dilancarkan pada suku keempat 2022, yang akan membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk melakukan pemindahan dana masa nyata antara Malaysia dan Singapura dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

"Pelanggan juga mampu melakukan pembayaran runcit dengan mengimbas kod DuitNow atau NETS QR yang dipaparkan di hadapan premis peniaga.

"Projek ini akan membolehkan pembayaran yang lebih lancar untuk jumlah pengiriman wang yang tinggi antara Malaysia dan Singapura, yang telah mencecah RM4.2 bilion pada 2020," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Projek itu juga akan memenuhi keperluan pelancong kedua-dua negara, yang menyaksikan trafik pra-pandemik yang signifikan iaitu sekitar 12 juta kedatangan setiap tahun.

Selepas pelancaran tersebut, BNM dan MAS secara beransur-ansur akan mengembangkan hubungan DuitNow-PayNow untuk melibatkan lebih peserta dan menggabungkan pelbagai ciri lain.

"Kedua-dua pengawal selia juga akan mengkaji kemungkinan menggabungkan ciri-ciri inovatif seperti penyelesaian berasaskan teknologi lejar diedarkan bagi menjadi pemangkin kecekapan yang lebih besar dalam penjelasan pembayaran dan penyelesaian antara bank yang mengambil bahagian," katanya.

Perkaitan DuitNow-PayNow juga mencerminkan satu lagi tonggak penting dalam sejarah hubungan erat antara Malaysia dan Singapura.

"Perhubungan ini berkait rapat dengan kerja Kumpulan 20 untuk mendorong pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, inklusif dan telus, selain sebagai langkah konkrit dalam mencapai rangkaian sistem pembayaran masa nyata yang berkaitan dengan ASEAN," katanya.

Penolong Gabenor BNM Fraziali Ismail berkata, inisiatif ini akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura termasuk berfungsi sebagai penyokong utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi pasca pandemik.

Ketua Pegawai Teknologi Kewangan MAS, Sopnendu Mohanty berkata perkaitan DuitNow-PayNow akan menjadi infrastruktur penting dalam menyokong keperluan pembayaran rentas sempadan untuk individu dan perniagaan, serta aktiviti ekonomi digital yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 5:39 PM