Standard Chartered
Standard Chartered

Kuala Lumpur: Standard Chartered Malaysia mengumumkan peningkatan faedah cuti ibu bapa bagi kakitangannya untuk membantu mereka melaksanakan tanggungjawab penjagaan yang lebih saksama untuk anak-anak.

Dengan faedah yang dipertingkatkan, pekerja boleh mengakses sekurang-kurangnya 20 minggu cuti berbayar.

Faedah yang dipertingkatkan itu direka bentuk untuk menyokong ibu bapa yang bekerja.

Ketua Sumber Manusia di Standard Chartered Malaysia, Muhammad Rawi Abdullah berkata, ia adalah sebahagian daripada komitmen untuk memupuk budaya inklusif, di mana pekerja disokong dalam mengimbangi kehidupan peribadi mereka dengan membina kerjaya.

"Standard Chartered ialah bank pertama di Malaysia memperkenalkan cuti bersalin 20 minggu bergaji penuh pada tahun 2017.

"Kakitangan kami adalah teras kepada perniagaan, maka kami sentiasa melihat bagaimana kami boleh mencipta tempat kerja yang lebih inklusif untuk mereka mencapai potensi penuh mereka.

"Faedah seperti ini bukan sahaja menyokong pilihan perancangan keluarga setiap individu tetapi juga menangani perubahan peranan masyarakat mengenai tanggungjawab penjagaan anak secara bersama," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Standard Chartered telah menerima pelbagai pengiktirafan untuk kepelbagaian dan agenda inklusif yang juga termasuk tumpuan untuk menjadi majikan pilihan. Terbaru, ia diumumkan sebagai Bank Terbaik Malaysia untuk Kepelbagaian dan Inklusif 2023 di Anugerah Bank Terbaik Asiamoney 2023 yang dinilai menerusi inisiatif seperti menggunakan tenaga kerja yang pelbagai daripada lebih 34 warganegara berbeza; menggaji rakan sekerja yang kurang upaya yang membentuk 0.5 peratus daripada tenaga kerjanya; penekanan kepada sokongan kewangan kepada perniagaan milik wanita; program keusahawanan digital untuk memacu mobiliti sosial yang lebih tinggi untuk golongan muda dan program pendidikan global untuk wanita muda menjadi pemimpin ekonomi komuniti mereka

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 3:32 PM