Ismail Sabri Yaakob dijangka melancarkan inisiatif itu esok.
Ismail Sabri Yaakob dijangka melancarkan inisiatif itu esok.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia memudahkan pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan dan tawaran diberikan majikan.

Bagi Siti Norazni Mohd Kairi, 43, dari Taman Kosas, Ampang di sini, dia berkata, peluang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk mencari kerja bersesuaian selepas hampir tiga tahun tidak bekerja.

"Sebelum ini saya berhenti kerja kerana mahu memberi tumpuan dan memantau anak yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Saya sudah mendaftar. Harapnya ada jawatan menawarkan kerja dari rumah sesuai dengan saya yang mempunyai anak masih kecil," katanya.

Sementara itu, Ammar Fadzli Ahmad Lutfi, 29, berkata, langkah kerajaan menawarkan karnival berkenaan adalah sangat bagus berikutan ia turut tidak meminggirkan golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya merebut peluang itu.

"Ini peluang keemasan saya untuk mencari kerja sesuai mengikut minat, kelayakan dan keupayaan saya yang mengalami masalah lumpuh ringan sebelah kiri sejak kemalangan jalan raya 10 tahun lalu.

"Inisiatif ini terbaik bukan saja memberikan kita banyak pilihan kerja, malah boleh bertemu majikan dan terus menjalani sesi temuduga sebelum mengetahui status keputusan pada masa itu juga," katanya.

Inisiatif JaminKerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion itu bakal menawarkan 600,000 peluang pekerjaan.

Ia membabitkan komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.

Inisiatif itu adalah kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka melancarkan inisiatif itu esok.

Sempena pelancaran itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 siri pertama diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur membabitkan 50 majikan serta lebih 2,500 tawaran peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 4:43 PM