GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sime Darby Bhd melabur lebih RM120 juta untuk pusat pengedar 4S BMW baharu di Balakong, Selangor, yang mencerminkan komitmennya untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dalam jangka masa panjang di negara ini.

Sime Darby Auto Bavaria Sdn Bhd (Auto Bavaria), unit milik penuh bahagian automotif Sime Darby Motors, hari ini melakukan majlis pecah tanah di premis baharu seluas lebih 243,342 kaki persegi di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Kajang (Lebuhraya SILK).

Pusat 4S Auto Bavaria Balakong, direka dengan konsep terkini BMW Retail NEXT, akan mula beroperasi pada suku pertama 2023, kata Sime Darby dalam kenyataan hari ini.

"Kami optimis terhadap prospek segmen automotif. Selaras dengan rancangan pertumbuhan strategik kami, pelaburan kami dalam fasiliti ini di Balakong, bersama-sama dengan pemerolehan pusat pengedar 4S BMW kami di Tebrau baru-baru ini dan pelancaran Pusat 4S BMW kami di Ara Damansara, mengukuhkan ikrar kami untuk memberi hanya perkhidmatan di tahap tertinggi kepada pelanggan kami," kata Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby, Mustamir Mohamad.

Sementara itu, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Hans de Visser berkata, ketika Lembah Klang membangun dan berkembang, kumpulan mengenal pasti Balakong, Serdang, Cheras dan kawasan sekitarnya sebagai potensi baharu yang mana ia boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

"Adalah wajar untuk kami memberi Auto Bavaria tanggungjawab yang mewakili kami di kawasan itu. Auto Bavaria telah menjadi rakan kongsi pengedar yang berharga bagi kami di Malaysia dan mereka juga rakan kongsi premium dalam membantu kami mencapai cita-cita di negara ini," katanya.

Selain bilik pameran peruncitan, Pusat 4S BMW baharu juga dilengkapi dengan kemudahan selepas jualan yang luas dengan sejumlah 30 ruang produktif, pusat badan dan cat, serta BMW Premium Selection.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 4:18 PM