MAYBANK muncul sebagai juara keseluruhan dengan memenangi tiga anugerah utama pada ASNB Starz Awards Nite 2017.
MAYBANK muncul sebagai juara keseluruhan dengan memenangi tiga anugerah utama pada ASNB Starz Awards Nite 2017.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak pernah gagal untuk mengisytiharkan dividen dan bonus yang kompetitif setiap tahun kepada pemegang unit amanahnya sejak dilancarkan pada 1981.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sejak amanah saham pertamanya iaitu Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dilancarkan pada tahun berkenaan, kini pengurus dana pelaburan itu mempunyai 12 dana amanah saham dan menguruskan 219 bilion unit oleh 13 juta pemegang akaun.

Beliau berkata, pada tahun lalu saja, sejumlah RM14.38 bilion diedarkan dalam bentuk dividen serta bonus dan sejak 1981, sejumlah RM172 bilion dibayar kepada semua pemegang unit.

“PNB juga berjaya melaksanakan semua inisiatif di bawah teras pertama STRIVE-15 yang memberi tumpuan kepada peningkatan pulangan yang mampan kepada pelabur.

“Ini jelas menunjukkan kekuatan kerjasama dengan rakan kongsi strategik kami,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Selain itu, dalam kenyataan yang sama, PNB menerusi ASNB turut meraikan 69 pemenang dari 18 kategori pada ASNB Starz Awards Nite 2017 sebagai usaha untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang ejen dan organisasi yang mempamerkan prestasi tinggi.

Abdul Wahid berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu serta syarikat atas semangat dan komitmen dalam mencapai aspirasi PNB dan ASNB.

“Mereka membuktikan kecemerlangan dalam memainkan peranan masing-masing dan mempamerkan prestasi yang terpuji untuk menggalakan rakyat menabung dan melabur dalam unit amanah ASNB,” katanya.

Majlis anugerah itu menyaksikan Maybank muncul sebagai juara keseluruhan dengan memenangi tiga anugerah utama iaitu Top Starz Award, PNB Award dan Best Managed ASNB Agent, manakala Ambank meraih Inspirational Star Award.

Selain mengiktiraf pencapaian tertinggi, ASNB turut mengumumkan Recognition Awards sebagai penghargaan kepada agensi seperti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jabatan Akauntan Negara dan Kementerian Pelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:47 AM