Aplikasi yang menggunakan nama dan logo PNB tanpa kebenaran.
Aplikasi yang menggunakan nama dan logo PNB tanpa kebenaran.
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengenal pasti satu aplikasi menyalahgunakan nama dan logo Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang memberi tanggapan ia adalah aplikasi rasmi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan ASNB.

ASNB melalui pengurus ASB dalam satu kenyataan berkata, aplikasi berkenaan mempunyai fungsi untuk semakan informasi ASB, ASNB dan PNB.

“ASNB selaku pengurus kepada ASB dan bagi pihak pemegang amanah, Amanah Raya Trustee Berhad, ingin memaklumkan pihak ASNB mengenal pasti terdapat aplikasi Internet di Google Play Store menggunakan nama ASB, PNB, ASNB dan ASB Kalkulator.

“Aplikasi berkenaan menyalahgunakan nama dan logo ASB iaitu salah satu tabung unit amanah di bawah pengurusan ASNB. ASNB anak syarikat milik penuh PNB,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut kenyataan itu, pihak PNB tidak mempunyai pengetahuan dan tidak pernah terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan aplikasi berkenaan selain logo PNB, ASB dan ASNB yang tertera di laman aplikasi itu di Google Play Store juga digunakan tanpa kebenaran.

“Sehubungan itu, pihak ASNB ingin memaklumkan kepada orang ramai yang aplikasi berkenaan dan isi kandungan dinyatakan dalam aplikasi berkenaan tidak diiktiraf dan ia beroperasi tanpa pengetahuan serta kebenaran pihak kami.

“Pemegang Amanah, ASNB dan PNB tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan aplikasi berkenaan dan isi kandungan dinyatakan di dalamnya.

“Pihak kami dan ejen dilantik oleh ASNB tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian dialami mana-mana pihak akibat daripada maklumat atau kenyataan di dalam aplikasi berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, pihak yang mempunyai pengetahuan mengenai pengendalian aplikasi berkenaan atau mengenai pengendali diminta menghubungi ASNB di talian 03 20573000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 6:14 AM