Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Pembeli rumah pertama dijangka menikmati pengurangan sebanyak 23 peratus dalam komitmen bulanan berbanding skim pembiayaan semasa di pasaran menerusi inisiatif Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, menerusi kadar pembiayaan maksimum 3.5 peratus setahun bagi kediaman berharga sehingga RM150,000, inisiatif itu juga berjaya menarik lebih 1,037 individu yang menyertai pendidikan kewangan di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 265 individu secara sukarela tidak meneruskan hasrat memohon pembiayaan perumahan apabila menyedari mereka tidak mempunyai kemampuan yang mencukupi pada masa ini.

“Selain menangani keperluan kewangan pembeli rumah pertama, inisiatif itu juga bertujuan mendidik mereka mengenai kemampuan meminjam serta membayar balik.

“Portal Rumahku ini membantu bakal peminjam memahami dan mengurus kewangan mereka dengan berkesan melalui penilaian kendiri yang mudah.

“Golongan sasar harus menyedari bahawa memiliki rumah melalui pinjaman perlu berlandaskan kemampuan untuk membayar balik pinjaman sepenuhnya,” katanya pada majlis pelancaran dana dan Portal Rumahku di sini, semalam.

Dana dan portal berkenaan dilancarkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, berdasarkan satu kajian pada 2018 menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu menanggung perbelanjaan di luar jangkaan dengan 52 peratus mengakui sukar menyimpan RM1,000 ketika waktu yang memerlukan.

“Hanya dua peratus rakyat yakin dapat memenuhi obligasi kewangan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan sekiranya mereka hilang punca pendapatan,” katanya.

Justeru, Nor Shamsiah berkata, pelbagai inisiatif diambil bagi menangani tahap celik kewangan yang rendah dalam kalangan rakyat negara ini.

Sementara itu, Guan Eng berkata, setakat ini sejumlah 16 permohonan diterima menerusi Portal Rumahku yang dibuka sejak 2 Januari tahun ini yang mana lima permohonan diluluskan manakala 11 lain sedang diproses.

“Ini menunjukkan perkembangan yang baik meskipun ia belum dihebohkan. Sekiranya ada peluang, kita akan melanjutkan dana ini melebihi tempoh dua tahun yang disasarkan, bergantung kepada permintaan,” katanya.

Menurut Lim, inisiatif itu juga antara tiga strategi yang dirangka kerajaan bagi menangani masalah pemilikan rumah di Malaysia.

“Malah, BNM turut bekerjasama dengan institusi kewangan lain bagi memperkenalkan langkah baharu membantu pemilik rumah pertama dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 bagi pembelian rumah berharga sehingga RM300,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 9:42 AM