TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kira-kira RM1.0 bilion diperuntukkan sektor perbankan bagi membiayai Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus).

Urus adalah program bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan dirangka oleh sektor perbankan bersama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Urus juga akan dikelolakan oleh AKPK yang juga akan memberi bantuan pelan kewangan peribadi serta akses kepada pakej pendidikan pengurusan kewangan kepada peminjam.

Katanya, permohonan untuk program ini akan dibuka dari 15 November 2021 sehingga 31 Januari 2022.

"Kerajaan juga sedang mengkaji kaedah lain untuk membantu golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan diumumkan dalam Bajet 2022.

"Untuk membantu aliran tunai segmen PKS yang terjejas, BNM (Bank Negara Malaysia) sudah memperuntukkan lebih RM7 bilion melalui fasiliti pembiayaan, yang disalurkan melalui bank-bank komersial sebagai pinjaman untuk modal kerja, perbelanjaan modal dan membiayai semula pinjaman.

"Bagi memudahkan lagi pinjaman dari bank, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan sudah memperuntukkan jaminan tambahan sebanyak RM20 bilion di bawah pakej bantuan Pemulih untuk menjamin 80 peratus pinjaman yang diambil oleh pihak PKS.

"Di bawah pakej bantuan Pemulih (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi) dan Pemerkasa (Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi), terdapat juga inisiatif seperti geran dan pinjaman dengan kadar faedah rendah untuk perusahaan mikro yang terjejas akibat Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Urus akan membantu peminjam secara komprehensif, memastikan mereka yang memerlukan mendapat sokongan kerajaan konsisten dengan semangat Keluarga Malaysia.

Program itu juga akan melengkapkan inisiatif lain oleh kerajaan dalam membantu golongan yang paling terjejas sejajar dengan pembukaan ekonomi, pemulihan negara dan langkah yang mengurangkan kesan jangka panjang yang berkekalan kepada ekonomi negara.

Peminjam yang tidak layak mendapatkan bantuan di bawah program Urus tetapi masih memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman, boleh terus menghubungi bank masing-masing untuk berbincang tentang pilihan bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka.

Urus ditawarkan kepada peminjam B50 yang terjejas, iaitu peminjam dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM5,880 atau lebih rendah.

Manfaat Urus merangkumi pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan dan pengurangan kadar faedah.

Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 10:47 AM