IDHAM
IDHAM

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd mengecualikan caj selama tiga bulan bagi pelan Celcom Business Suite sehingga 22 Oktober depan dalam usaha menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Sebagai tambahan, PKS akan menikmati penjimatan sehingga 30 peratus selama setahun dengan Geran Padanan Pendigitalan PKS yang diperkenalkan kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

Pelan Celcom Business Suite kit digital sehenti kerjasama antara Celcom dan Microsoft Malaysia untuk mendigitalkan PKS tempatan.

Ia membolehkan PKS menguruskan perniagaan dan beroperasi dengan lancar melalui pelan pascabayar Celcom MEGA yang turut merangkumi aplikasi Microsoft 365 dan Microsoft Teams tanpa had pada harga yang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, ketika landskap ekonomi negara berusaha bangkit daripada kesan pandemik adalah penting supaya lebih banyak perniagaan menggunakan digitalisasi dan dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu.

"Kami mengalu-alukan pemilik perniagaan merebut peluang ini melalui kit penyelesaian digital yang inovatif daripada kami, Celcom Business Suite yang menawarkan caj langganan percuma selama tiga bulan dan akses kepada aplikasi inovatif daripada Microsoft.

"PKS adalah segmen yang terus berkembang dalam memacu ekonomi negara dan Celcom amat menghargai kerjasama yang dijalin dengan Microsoft Malaysia untuk terus menyediakan penyelesaian digital yang mampu dimiliki kepada semua PKS di negara ini.

"Dengan menggabungkan liputan rangkaian LTE Celcom yang terluas di negara ini, kapasiti kami sebagai penyedia penyelesaian digital bagi syarikat atas talian, sekecil-kecil perniagaan mahupun perusahaan lebih besar adalah bertujuan untuk mewujudkan situasi 'menang bersama' serta menyediakan ekosistem digital yang lebih mampan serta memberi faedah kepada rakyat dan negara," katanya.

Celcom dan Microsoft Malaysia turut menyasarkan untuk memacu adaptasi digital melalui teknologi dan perkhidmatan pengkomputeran awan, selain menawarkan potensi tanpa had kepada PKS transformasi operasi perniagaan dengan mudah dan menjimatkan kos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:59 AM