IDHAM (dua dari kiri) dan  Ng  (tiga dari kiri) melawat gerai pameran pada Majlis Pelancaran Celcom SME Campaign, Reimagine SME For Tomorrow, semalam. - FOTO Eizairi Shamsudin
IDHAM (dua dari kiri) dan Ng (tiga dari kiri) melawat gerai pameran pada Majlis Pelancaran Celcom SME Campaign, Reimagine SME For Tomorrow, semalam. - FOTO Eizairi Shamsudin
Rosyahaida Abdullah


CELCOM Axiata Berhad (Celcom) melancarkan kempen Celcom Business: Reimagine SME For Tomorrow khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini memacu transformasi digital masing-masing.

Hasil kerjasama dengan 13 organisasi terdiri daripada agensi kerajaan, institusi kewangan, badan keusahawanan dan rakan teknologi, kempen itu yang bermula semalam menawarkan antaranya kit digital inovatif serta Geran Digitalisasi Perniagaan oleh kerajaan khusus buat PKS yang mengambil bahagian.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, inisiatif itu adalah sebahagian usaha pihaknya dalam membantu peralihan digital usahawan PKS selaras matlamat membuka potensi perniagaan lebih luas buat mereka.

Katanya, meskipun pandemik Covid-19 memberi cabaran kepada perniagaan namun pada masa sama krisis itu membuka peluang dan mempercepat agenda peralihan digital yang sememangnya penting dalam perniagaan.

"Pada tahun lalu saja PKS menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) justeru kami melihat pentingnya untuk memastikan pertumbuhan dan kemapanan PKS diberi perhatian serta bantuan segera dalam tempoh mencabar ini.

"Kempen ini antara cara Celcom dengan kerjasama beberapa pihak lagi yang mempunyai objektif sama untuk membantu perniagaan di Malaysia khususnya PKS meningkatkan kemahiran digital.

"Persekitaran ini akan mewujudkan situasi 'menang bersama' yang memberi faedah kepada PKS dan pengguna sekali gus mencapai aspirasi negara ke arah ekonomi digital," katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Izwan Zainuddin dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:15 AM