MOHAMED Ridza Mohamed Abdulla.
MOHAMED Ridza Mohamed Abdulla.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment) memenangi anugerahBest Fintech Robo Mobile Application di The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2021 menerusi aplikasi Best Invest.

Best Invest adalah aplikasi pelaburan Robo-Pintar unit amanah Shariah-ESG pertama oleh BIMB Investment.

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, teknologi dan pendekatan digital kini menjadi kunci kejayaan kepada industri kewangan Islam melalui inovasi pesat ketika dunia sedang berubah ke arah digitalisasi dalam sektor produk dan perkhidmatan.

"Aplikasi Best Invest membantu pelabur secara digital untuk membina portfolio pelaburan optimum dengan menggunakan data dan analisis.

"Matlamat kami adalah untuk menjadikan pelaburan ringkas dan mudah, serta mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk melabur dari usia muda.

"Kami amat berbesar hati untuk menerima anugerah berprestij yang mengiktiraf komitmen berterusan untuk memperkenalkan pengalaman era digital baharu bagi pengurusan dana dan kewangan untuk kepentingan orang ramai," katanya dalam kenyataan.

Best Invest dilancarkan pada 26 Mac 2020 sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menawarkan penyelesaian digital baharu bagi pelaburan lestari kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ia platform pelaburan secara sistematik menilai profil risiko pelabur serta tujuan pelaburan mereka, seterusnya memperuntukkan pelaburan melalui dana unit amanah pelbagai yang diuruskan oleh BIMB Investment secara automatik untuk memaksimumkan pulangan dan menguruskan risiko pelaburan dari masa ke masa.

Aplikasi ini memberi peluang kepada pelabur untuk memulakan pelaburan sama ada dengan memilih fungsi Do it for Me atau fungsi Do it Yourself' dalam aplikasi.

Fungsi Do it for Me membolehkan sistem Robo-Pintar mengenal pasti dan memilih dana serta jumlah pelaburan sesuai berdasarkan profil risiko pelabur.

Sebagai alternatif, fungsi Do It Yourself membolehkan pelabur memilih dana yang ingin mereka laburkan tanpa bantuan sistem Robo-Pintar untuk pengalaman bersifat peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 6:11 PM