ISMAIL (tengah) bersama  Ahmad Nazim   (dua dari kiri),  Abdul Malik (empat  dari kiri) dan Azhar (kanan) pada majlis pengumuman prestasi dana terbaik PMB Investment  dan pengagihan pendapatan PMB SGF, semalam.
ISMAIL (tengah) bersama Ahmad Nazim (dua dari kiri), Abdul Malik (empat dari kiri) dan Azhar (kanan) pada majlis pengumuman prestasi dana terbaik PMB Investment dan pengagihan pendapatan PMB SGF, semalam.
Nurhayati Abllah

Kuala Lumpur: PMB Investment Bhd (PMB Investment), anak syarikat Pelaburan Mara Bhd mencatatkan pulangan 33 peratus bagi prestasi setahun untuk dana ekuiti, PMB Shariah Growth Fund (PMB SGF) dengan agihan 12 sen seunit bersamaan kadar pulangan sebanyak 8.85 peratus bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2018.

Jumlah pengagihan sebanyak RM4.1 juta akan dibayar kepada 4,237 pelabur korporat dan runcit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara, Datuk Ahmad Nazim Rahman berkata, prestasi positif itu dipacu oleh peningkatan dalam dua segmen iaitu pelabur runcit (perseorangan) dan pelabur korporat (institusi).

“Setakat ini, kedua-dua segmen menyumbang 50 peratus portfolio pelaburan.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan RM350 juta diperoleh daripada pelabur runcit manakala bakinya menerusi pelabur korporat dengan pelaksanaan lebih banyak promosi dan pengukuhan saluran pengedaran serta jualan melalui ejen di seluruh negara,” katanya selepas majlis pengumuman prestasi dana terbaik PMB Investment dan pengagihan pendapatan PMB SGF di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengerusi PMB Investment, Datuk Abdul Malik Ismail.

Majlis sama turut menyaksikan pengumuman prestasi lima dana terbaik daripada 14 dana di bawah pengurusan PMB Investment.

Lima dana berkenaan terdiri daripada PMB Shariah Aggressive Fund, PMB SGF; PMB Shariah Small-Cap Fund; PMB Shariah Premier Fund dan PMB Shariah Dividend Fund.

Sementara itu, menurutnya pihaknya mengunjurkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM1.9 bilion, pada akhir tahun ini.

“Jumlah AUM PMB Investment adalah RM1.040 bilion dan kami optimis untuk mencapai penambahan RM850 juta lagi tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 10:28 AM