Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memperkenalkan Ria, satu ciri baharu dalam aplikasi myASNBnya, yang direka untuk menjadikan pelaburan mudah dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

Ria, atau Penasihat Pelaburan Robo (Robo Investment Advisor), dilancarkan bertujuan menangani cabaran umum apabila membuat keputusan pelaburan selain memperkasakan individu daripada semua lapisan masyarakat untuk mengawal dan bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka dengan pengalaman pelaburan yang mesra pengguna dan diperibadikan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, dengan pengenalan Ria, pelaburan adalah semudah satu sentuhan, memberikan kuasa di tangan pemegang unit kami untuk mengemudi masa depan kewangan mereka.

"Di ASNB, pelanggan sentiasa di hati kami dan kami berusaha untuk terus menambah baik penawaran produk dan perkhidmatan kami.

"Dengan Ria, ASNB menyasarkan untuk memudahkan pelaburan dengan menawarkan portfolio yang diperibadikan dan mengautomasikan transaksi utama seperti deposit berulang melalui ciri auto laburnya.

"Ria juga menangani isu penting seperti literasi kewangan, pelaburan minimum yang tinggi dan akses kepada nasihat profesional," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bermula dengan deposit minimum sebanyak RM100, Ria bukan sahaja memenuhi keperluan pemegang unit ASNB sedia ada tetapi juga mengalukan pelabur kali pertama dengan bajet lebih kecil, menawarkan yuran yang telus dan proses pelaburan mudah.

Dikuasakan oleh algoritma lanjutan, Ria membina portfolio tersuai berdasarkan toleransi risiko dan matlamat kewangan individu, memastikan portfolio kekal sejajar dengan objektif pelabur melalui pengimbangan semula automatik dan pelaburan semula dividen.

Disesuaikan dengan pelabur Malaysia, Ria menyokong kaedah pembayaran tempatan yang popular dan tersedia dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris untuk kemudahan penggunaan.

Selain itu, pelabur yang membuka portfolio Ria melalui aplikasi myASNB akan menikmati pengecualian yuran pengurusan Ria (yuran wrap) sebanyak 0.30 peratus setahun sehingga 31 Disember 2024.

Dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengurus Pelaburan Digital, ASNB berhasrat untuk mentakrifkan semula nasihat pelaburan dengan Ria, menyediakan penyelesaian yang mudah dan inovatif untuk pelabur Malaysia.

Pelancaran Ria sebagai ciri baharu dalam aplikasi myASNB akan dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang.

Untuk mula melabur dengan Ria, muat turun aplikasi myASNB daripada Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery, daftar akaun myASNB dan pilih Ria.

Pengguna myASNB sedia ada boleh mengakses Ria terus daripada aplikasi untuk memulakan perjalanan pelaburan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 8:41 PM