KETIDAKSTABILAN politik akan memberi kesan kepada ekonomi negara kerana Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
KETIDAKSTABILAN politik akan memberi kesan kepada ekonomi negara kerana Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Ketidakstabilan politik akan memberi kesan negatif besar kepada ekonomi negara kerana Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa termasuk pelaburan asing.

Profesor Madya di Sekolah Perniagaan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata, jika ketidakstabilan ini tiada penyelesaian, ia akan menjejaskan prestasi dan keyakinan pelabur.

Katanya, kemungkinan besar, pelabur yang mengumumkan untuk melaksanakan pelaburan di Malaysia akan menarik balik keputusan terbabit disebabkan ketidaktentuan ini.

"Negara juga akan menghadapi kehilangan pelabur lain yang berpotensi untuk melabur di Malaysia.

"Pelabur yang berpotensi ini akan mengalih tumpuan kepada negara jiran lain.

"Negara juga akan mengalami kehilangan peluang pelaburan berbilion ringgit malah kesan pengganda dari segi penciptaan peluang pekerjaan dan pembinaan infrastuktur baharu turut lebur.

"Jika pelabur melihat keadaan politik negara tidak stabil, ia akan menjadikan ekonomi negara semakin buruk.

"Dengan itu, segala usaha kerajaan dalam menarik minat pelabur asing ke Malaysia akan menjadi sia-sia," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, siapa pun Perdana Menteri dan ahli Kabinet, perkara paling penting adalah meneruskan dasar yang mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, dasar negara yang dirancang demi rakyat harus diteruskan terutama dasar yang menjamin kelangsungan hidup rakyat dalam mendepani cabaran kesan dari pandemik Covid-19.

"Selain itu, proses vaksinasi harus diperhebatkan lagi supaya kita boleh mencapai perlindungan kelompok dengan lebih cepat.

"Dengan ini, Malaysia akan dapat keluar dari krisis ekonomi dan krisis kesihatan seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:01 AM