KESTABILAN politik  beri laluan kepada kerajaan untuk selesaikan dua krisis  kronik iaitu kesihatan dan ekonomi.
KESTABILAN politik beri laluan kepada kerajaan untuk selesaikan dua krisis kronik iaitu kesihatan dan ekonomi.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dilihat akan menjadi titik tolak untuk menarik kembali pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dan membantu memulihkan ekonomi negara.

MoU yang dicapai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) itu juga pertama seumpamanya dalam sejarah politik negara.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, negara kini menghadapi tiga cabaran, sekali gus iaitu politik, kesihatan dan ekonomi.

"Maka, kestabilan politik pasti memberi laluan kepada kerajaan untuk menyelesaikan dua krisis yang kronik iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.

"Apatah lagi menyediakan negara untuk memasuki fasa endemik dalam Pelan Pemulihan Negara, di mana kawalan jangkitan Covid-19 sangat mustahak apabila semua aktiviti ekonomi nanti dibuka semula.

"Melalui MoU ini, sudah pasti dapat mencapai kestabilan politik yang mana ia tarikan utama Malaysia kepada pelabur asing untuk berdekad lalu," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, sebelum ini negara bertukar pucuk pimpinan dan kerajaan beberapa kali dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

"Pasti perubahan yang tidak disangka seperti MoU antara parti yang mewakili rakyat pelbagai kaum ini meredakan kebimbangan semua termasuklah pelabur asing.

"Pelabur mahu melabur di negara yang bertuah ini kerana tertarik dengan pelbagai faktor, tetapi hasrat mereka 'tertahan' kerana situasi politik semasa, malah ini diterjemahkan dengan penurunan FDI sejak beberapa tahun lalu dalam negara yang makin sedikit dari jumlah FDI yang melabur di negara Asean lain.

"Jadi MoU ini menjadi titik tolak untuk menarik kembali FDI ke Malaysia dan membantu memulihkan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, dari aspek ekonomi, ini memberikan jaminan kestabilan kepada pelbagai pihak berkepentingan seperti pelabur asing mahupun pelabur tempatan.

Selain itu, jangkaan kestabilan ekonomi akan memberikan peluang untuk pihak berkepentingan untuk membuat perancangan bagi memajukan perniagaan masing-masing.

"Dan ini secara langsung membantu kerajaan untuk membabitkan sektor swasta supaya dapat sama-sama merancang untuk memulihkan ekonomi negara.

"Polisi dan dasar-dasar akan lebih mudah disusun tanpa mempunyai kebimbangan bahawa ia akan diubah lagi sekiranya kerajaan bertukar," katanya.

"Ini termasuklah menyediakan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu pelan strategik Malaysia bagi jangka masa sederhana dan panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:00 AM