Dr Aimi Zulhazmi
Dr Aimi Zulhazmi
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pemulihan ekonomi dunia yang berlaku serentak dengan penyertaaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka memberi kesan amat positif kepada ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, RCEP dapat membantu negara dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) sama ada dari negara dalam RCEP itu sendiri atau bukan.

Malah katanya, ia dapat mengambil peluang daripada keterbukaan ekonomi yang disediakan oleh RCEP terbabit.

"Ini antara kebaikan RCEP kepada Malaysia secara langsung, apatah lagi kita sedang bersaing sengit dengan negara Asean lain untuk menarik FDI di mana kita sudah mengalami penurunan sejak beberapa tahun dahulu.

"Penyertaaan Malaysia dalam RCEP akan memberi kesan positif kepada ekonomi, terutama dalam mendokong pertumbuhan sektor ekonomi yang cemerlang seperti pengeluaran barangan semikonduktor, sarung tangan dan sut pelindung peribadi (PPE) yang dinikmati negara sewaktu pandemik berlangsung sejak awal 2020.

"Mungkin akan ada lagi FDI yang akan juga menyertai sumbangan Malaysia sebagai pembekal utama dunia dalam semikonduktor dan sarung tangan.

"Ini juga perlu dilihat secara positif kerana ia pelaburan yang memerlukan teknologi tinggi iaitu dasar FDI yag kini diperkenalkan oleh kerajaan iaitu Aspirasi Pelaburan Nasional yang menumpukan kepada pelaburan berimpak tinggi," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain itu kemasukan syarikat asing terutama dari negara anggota RCEP mungkin akan memberi tekanan dan bersaing dengan syarikat asal dari Malaysia dalam semua sektor industri.

Beliau berkata, ini mungkin menjejaskan perniagaan tempatan yang selama ini mendominasi sektor tertentu dalam ekonomi negara.

"Dasar negara seperti pemilikan warga asing dan penyertaan warga tempatan juga mungkin akan mengalami tekanan di masa hadapan, termasuk ekuiti Bumiputera.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh lari dari perubahan ekonomi global yang mengalami perubahan drastik terutama selepas pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu.

"Kita perlu berubah mengikut masa atau terperangkap dalam jangka waktu seperti beberapa dekad lalu.

"Kita tidak mahu Malaysia terperangkap dalam middle-income trap dengan pendapatan perkapita tidak berubah untuk beberapa tahun, malah sedikit menurun sejak pandemik Covid-19 melanda.

"Dengan sasaran kerajaan dalam RMK-12 iaitu pendapatan setiap keluarga mencapai RM10,000 sebulan pada 2025, sesuatu yang drastik perlu dilakukan dan penyertaan RCEP adalah antara langkah awal dalam merubah pelbagai model bisnes Malaysia," katanya.

Sementara itu, katanya, agensi kerajaan juga perlu menyediakan pelan jelas kepada komuniti perniagaan di Malaysia mengenai perubahan RCEP kepada Malaysia nanti, bukan hanya memberi informasi, tetapi juga harus membantu dalam waktu peralihan ini termasuk memberi perlindungan cukai kepada syarikat di Malaysia dalam tempoh peralihan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 7:00 AM