Perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro disaran mempersiapkan diri melalui penggunaan teknologi digital bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza, khususnya selepas tamat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini adalah kerana tidak mudah untuk menganggap bahawa keadaan akan kembali seperti biasa selepas pandemik Covid-19 berakhir.

"Pandemik Covid-19 secara tidak langsung telah melonjakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

"Pendigitalan adalah elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga apabila memulakan sesuatu perniagaan.

"Covid-19 mengubah gaya hidup kita semua, dan dengan pergerakan dan pertemuan yang terhad, penggunaan aplikasi digital semakin meluas.

"Ini sekali gus mendorong dan menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan penggunaan teknologi maklumat," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tahun lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi SME Corp Malaysia memainkan peranan dalam memudahcara 7,851 perusahaan mikro, termasuk usahawan Bumiputera untuk mengadaptasi teknologi digital (e-dagang) dalam operasi perniagaan masing-masing menerusi Program Micro Connector.

Program Micro Connector adalah salah satu inisiatif berterusan oleh SME Corp bagi membangunkan perusahaan mikro dan komuniti isi rumah yang memperolehi pendapatan 40 peratus terendah (B40) di negara ini.

Di bawah program Micro Connector ini juga, SME Corp bekerjasama dengan Warong Rider iaitu satu platform servis penghantaran makanan dan barangan yang dapat membantu golongan belia, peniaga dan penjaja kecil di seluruh Malaysia untuk memasarkan pelbagai produk di kawasan setempat.

SME Corp juga melaksanakan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) bertujuan meningkatkan daya saing PKS Bumiputera menerusi bantuan bersepadu yang meliputi khidmat nasihat, bantuan teknikal, latihan dan sokongan kewangan dalam bentuk geran bersamaan.

Sehingga Disember 2020, sejumlah 1,212 permohonan diluluskan dengan nilai geran berjumlah RM175.4 juta di bawah program BEEP.

Untuk maklumat terkini bantuan yang disediakan termasuk pelbagai topik berkaitan pengurusan perniagaan, PKS boleh melayari www.smecorp.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 3:55 PM