TENGKU Zafrul, gambar fail. FOTO Bernama
TENGKU Zafrul, gambar fail. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini, bersetuju melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Tengku Zafrul bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan selain mengambil langkah intervensi proaktif serta bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik.

"Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pakar kesihatan, ekonomi dan sosial (subject matter experts) bagi mendapatkan maklum balas.

"Ia termasuk menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam sedang dilaksanakan, strategi pengurusan pesakit di hospital dan strategi pemberian vaksin kepada populasi di Malaysia," katanya.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang diadakan secara sidang video itu dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan, mesyuarat itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Selain itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut serta dalam mesyuarat itu.

JKKPPN berfungsi memantau pelaksanaan strategi serta bantuan di bawah PPN bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut Covid-19 secara berfasa dan sistematik dengan mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas.

Kenyataan itu memaklumkan bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha-usaha Kementerian serta agensi yang terbabit secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN.

"Pembabitan kumpulan profesional terutamanya pakar kesihatan awam dan ekonomi dalam pengurusan pandemik Covid-19 di dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul.

"Kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

"Justeru, kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan PPN akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif," kata kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 8:52 PM