MUHYIDDIN mempengerusikan mesyuarat kedua MPN.
MUHYIDDIN mempengerusikan mesyuarat kedua MPN.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini yang antara lain mempertimbangkan pelbagai aspek Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mesyuarat turut membincangkan dengan terperinci dan mengambil kira pelbagai data dan pandangan daripada pakar kesihatan dan ekonomi seperti kadar vaksinasi, status vaksinasi individu, kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keperluan untuk sektor perniagaan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dibuka semula dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat.

Dalam satu kenyataan, pejabat Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat berkenaan turut dihadiri ahli ahli MPN terdiri daripada pakar sektor kesihatan, ekonomi dan sosial iaitu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Michael Kang, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, Datuk Seri Wong Chun Wai, Tan Anthony Francis Fernandes, Datuk Dr Hartini Zainudin dan Prof Madya Dr Sivakumar Thurairajasingam.

"Diharapkan agar apa yang dibincang dan disyorkan dalam MPN akan dapat membantu kerajaan dalam memastikan PPN dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 8:28 PM