Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) hari ini memutuskan untuk memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin dan mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat yang telah memberi vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi sepenuhnya.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perincian kelonggaran itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Berteraskan pendekatan 'whole of nation', Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman dan nasihat di dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik ini secara sistematik dan selamat.

"Mesyuarat kedua JKKPPN hari ini juga telah memutuskan beberapa perkara termasuk kelonggaran untuk individu yang sudah menerima vaksin dan syarikat yang sudah memberi vaksin kepada pekerjanya.

"Mesyuarat juga membuat keputusan untuk menambah baik SOP berdasarkan maklum balas dari pakar (subject

matter experts) selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.

"Malah, MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat kedua JKKPPN, hari ini.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat pada hari ini bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Kabinet PPN digantikan dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, bagi memastikan pelaksanaan PPN berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.

Mesyuarat juga telah memutuskan bahawa PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai 2021.

Tengku Zafrul berkata, melangkah ke hadapan, kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak Covid-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti/pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 7:24 PM