Bank bergerak disediakan di mukim terpilih seluruh Malaysia.
Bank bergerak disediakan di mukim terpilih seluruh Malaysia.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan (MOF) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) sedang berusaha untuk meluaskan inisiatif bank bergerak dengan kerjasama institusi perbankan seperti yang diumumkan dalam Pelan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 28 Jun lalu, dan dijangka mula beroperasi dalam suku keempat tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan memperuntukkan RM18 juta kepada institusi kewangan domestik bagi menyediakan 30 unit bank bergerak di sekitar 250 mukim seluruh Malaysia, yang dikenalpasti tiada/ kekurangan akses kepada perkhidmatan perbankan asas.

"MOF dan BNM menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan kewangan yang berasaskan

teknologi dan digital, seperti perbankan internet dan mudah alih, serta e-dompet, di mana transaksi perbankan

boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja secara selamat, cepat dan mudah.

"Bagaimanapun, MOF mengambil maklum masih terdapat keperluan untuk penyediaan transaksi tunai,

terutamanya untuk kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur internet yang mencukupi dan stabil.

"Selain daripada mesin juruwang automatik (ATM) atau ATM Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (ATM MEPS), antara saluran lain yang disediakan oleh institusi perbankan ialah ejen bank dan juga bank bergerak," katanya dalam laporan Laksana ke-71 yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, bank yang terbabit telah memberi komitmen untuk meluaskan perkhidmatan ejen bank secara berperingkat dan menambahbaik perkhidmatan sedia ada.

"Antara perkhidmatan perbankan asas yang disediakan oleh ejen bank adalah mengambil deposit; mengendalikan pengeluaran wang; mengendalikan pindahan dana/ wang; menerima pembayaran pinjaman/ pembiayaan; mengendalikan pembayaran bil; dan membuka akaun simpanan (BSN sahaja).

"Institusi kewangan juga memantau tahap penggunaan perkhidmatan perbankan di ejen-ejen bank oleh penduduk setempat sebagai justifikasi bagi penambahan kemudahan perkhidmatan kewangan seperti ATM atau pembukaan sesebuah cawangan bank," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:54 PM