PENDEPOSIT boleh memilih akaun pelaburan atau deposit.
PENDEPOSIT boleh memilih akaun pelaburan atau deposit.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Institusi perbankan Islam kini boleh menawarkan produk Akaun Pelaburan menerusi Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang membolehkan institusi perbankan Islam lebih fleksibel untuk merangka produk baru, termasuk akaun deposit dan akaun pelaburan.

Presiden Persatuan Institusi-institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, matlamat IFSA adalah untuk menggalakkan bank mempelbagaikan tawaran produk mereka.

Beliau berkata, akta terbabit membezakan secara jelas di antara akaun pelaburan dan akaun deposit selain selaras dengan teras utama IFSA yang mengutamakan perlindungan pelanggan.

“Ini membolehkan bank menyesuaikan produk mereka mengikut profil serta tahap keupayaan pelanggan untuk mengambil risiko pelaburan lebih tinggi mungkin berpotensi memperoleh pulangan lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Menurutnya, institusi perbankan Islam akan menjalankan penilaian kesesuaian terhadap pelanggan bagi memastikan mereka memilih akaun pelaburan yang sesuai dengan tahap keupayaan mengambil risiko, profil serta kapasiti kewangan masing-masing.

Pendeposit kini diberi pilihan untuk memilih antara dua jenis akaun iaitu akaun pelaburan dan akaun deposit. Mereka yang memilih akaun pelaburan akan melabur dalam portfolio aset bank Islam yang berkemungkinan memberikan pulangan yang lebih tinggi berbanding akaun deposit.

Seperti pelaburan yang lain, amaun prinsipal bagi akaun pelaburan tidak dijamin. Oleh kerana akaun pelaburan tidak dikategorikan sebagai deposit di bawah IFSA, ia tidak dilindungi skim Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Melalui penawaran produk baru itu, pemegang akaun Mudharabah yang sedia ada boleh memilih sama ada akaun pelaburan atau akaun deposit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 9:30 AM