Lima laluan kerjaya menanti peserta termasuk penganalisis data, ahli sains data, operasi pembangunan, pencipta perisian dan sokongan IT.
Lima laluan kerjaya menanti peserta termasuk penganalisis data, ahli sains data, operasi pembangunan, pencipta perisian dan sokongan IT.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Graduan dan individu yang menganggur boleh mendaftar untuk Program Kemahiran Digital Bagi Kerjaya Hari Esok, bermula hari ini.

Program itu adalah hasil kerjasama di antara Microsoft Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Junior Achievement (JA) Malaysia, pertubuhan badan bukan kerajaan yang berkhidmat untuk golongan belia, dalam usaha menyokong program MyDIGITAL kerajaan dan dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.

Inisiatif bersama ini bakal memberi manfaat kepada 25,000 rakyat Malaysia menerusi webinar secara dalam talian mengenai kemahiran digital dan sains data, berdasarkan sumber daya industri dan latihan Microsoft.

Seramai 400 peserta akan dipilih untuk mengikuti kursus kemahiran digital yang menyeluruh merangkumi bimbingan mentor dan latihan kemahiran insaniah bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Peserta boleh memilih lima laluan kerjaya, termasuk penganalisis data, ahli sains data, operasi pembangunan, pencipta perisian dan sokongan IT.

Mereka yang berminat boleh melayari www.myfuturejobs.gov.my/upskilling-reskilling untuk mendaftar secara dalam talian.

Sebarang pertanyaan, hantarkan mesej menerusi WhatsApp ke 013-533 2468, hubungi talian hotline di 1300 22 8000 atau e-mel kepada [email protected].

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, memandangkan masa depan Malaysia bakal dibina berlandaskan ekonomi yang mendahulukan digital, tenaga kerja digital akan menjadi pemacu penting yang mendorong pemulihan ekonomi negara.

"Kami baru-baru ini mengumumkan inisiatif Bersama Malaysia, yang merangkumi komitmen untuk melengkapkan sejuta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital menjelang Disember 2023.

"Sejajar dengan usaha ini, kami berbesar hati menjalin kerjasama kukuh dengan Perkeso dan JA Malaysia. Kami ingin bersama-sama menyokong bakat-bakat digital agar kekal berdaya saing dan berjaya dalam ekonomi Malaysia yang mendahulukan digital," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama awam-swasta adalah pemangkin penting untuk melahirkan bakat digital berwibawa dengan meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula tenaga kerja, demi mencapai aspirasi MyDIGITAL yang dipayungi oleh Dasar 4IR Negara untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi

berasaskan digital. "

"Usaha memahirkan semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia, terutamanya mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, amat penting untuk membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja hari ini yang mencabar dan juga berusaha mencari dan mencapai kejayaan dalam ekonomi digital.

"Kami teruja dengan kerjasama ini dan bersama-sama bertekad untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh bakat-bakat tempatan kita dan membantu mengukuhkan tenaga kerja digital Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:27 PM