LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Masyarakat perlu bersedia dan beradaptasi untuk menghadapi perubahan teknologi terutamanya dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Nur Azreen Mokhyi berkata, ia kerana situasinya pada ketika ini ialah perubahan teknologi tetap akan berlaku, sama ada bergerak perlahan atau pun pantas.

Beliau berkata, perubahan teknologi diperlukan supaya pengeluaran dapat dipertingkatkan seiring dengan kehendak pasaran semasa.

"Industri juga akan berkembang ke arah itu. Disebabkan ini, pembangunan modal insan pekerja perlu dipertingkatkan menerusi program meningkatkan kemahiran (reskilling) dan melaksanakan latihan semula (upskilling).

"Pekerja sedia ada memerlukan program latihan sebegini supaya mereka dapat beradaptasi dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

"Antara peranan yang dapat dimainkan pihak kerajaan ialah dengan memberikan lebih banyak insentif untuk menggalakkan majikan supaya menghantar pekerja bagi mengikuti program latihan seumpamanya menerusi agensi seperti HRD Corpy," katanya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, semalam yang dilaporkan berkata seramai 4.5 juta rakyat Malaysia berisiko hilang pekerjaan menjelang 2030, sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran (reskilling) dan melaksanakan latihan semula (upskilling).

Sivakumar dilaporkan berkata, Forum Ekonomi Dunia 2020 memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI) boleh menyebabkan berlakunya kemelesetan pasaran pekerjaan berikutan AI sudah digunakan untuk mengautomasikan tugas dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan pelanggan.

Mengulas lanjut, Nur Azreen berkata memetik tinjauan Randstad Malaysia tahun lalu, 97 peratus pekerja di Malaysia berminat untuk meningkatkan kemahiran, namun hanya 36 peratus benar-benar mendapat peluang latihan daripada majikan mereka.

"Pada masa sama, kerajaan juga perlu menilai serta menyemak semula silibus pendidikan, bermula daripada peringkat sekolah ke peringkat universiti supaya lebih dinamik dan kekal relevan dengan perubahan teknologi.

"Pembangunan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam kalangan pelajar diperlukan supaya dapat mewujudkan tenaga buruh yang berkualiti buat industri, selaras dengan konsep 'industry demand driven skill' serta membantu negara mencapai hala tuju negara 35 peratus tenaga buruh mahir.

"Latihan dan peningkatan kemahiran, atau upskilling dan reskilling kini bukan lagi pilihan, tetapi ia sudah menjadi suatu keperluan," katanya.

Beliau berkata, latihan dan peningkatan kemahiran itu perlu diberikan perhatian serta penekanan semua pihak termasuk kerajaan dan pemain industri supaya pembangunan modal insan tenaga buruh di negara ini tidak ketinggalan, mampu bergerak seiring arus perubahan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 5:43 PM