GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bisnes HM


PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada minggu #MyDigitalWorkforce yang diadakan baru-baru ini, memperkenalkan direktori latihan kemahiran digital dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Melalui inisiatif ini, Perkeso akan memberikan insentif subsidi kepada rakyat Malaysia yang mahu mendapatkan kemahiran digital baharu.

Perniagaan yang ingin mendapatkan kakitangan baru dan mempunyai rancangan untuk melengkapkan bakat dengan kemahiran teknologi digital yang relevan boleh merujuk kepada katalog direktori berfokus digital ini kerana menyenaraikan semua kursus kemahiran digital yang mendapat permintaan.

Di bawah rancangan itu, sekiranya calon-calon ini memerlukan latihan, mereka boleh mendapatkan subsidi latihan sehingga RM4,000 seorang bagi setiap kursus.

Ia akan ditawarkan untuk rakyat Malaysia yang menganggur yang dipilih untuk pengambilan oleh majikan berdaftar dengan Perkeso.

Sebanyak 173 kursus dan pensijilan ditawarkan oleh 43 rakan latihan di direktori ini telah dinilai dan disahkan oleh panel pakar industri digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pengenalan direktori baru ini selaras dengan fokus untuk mengembangkan rakyat Malaysia yang mahir secara digital.

"Ini akan menjadi panduan untuk semua tenaga kerja Malaysia mengenai apa yang harus dicari ketika datang ke program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula teknologi digital," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, tujuan utama direktori ini diwujudkan adalah untuk mengasah dan membangunkan rakyat berkaitan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk pekerjaan dalam sektor teknologi digital.

Antara kursus yang disenaraikan di bawah direktori ini adalah sains data, keselamatan siber, animasi, pembangunan permainan dan pembangunan perisian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 5:15 PM