Tapak Terowong Dungun di Bukit Bauk, Dungun. - Bernama
Tapak Terowong Dungun di Bukit Bauk, Dungun. - Bernama
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi pencapaian penembusan terowong tunggal ECRL enam bulan lebih awal daripada jadual asal iaitu Terowong Dungun di Terengganu yang merangkumi 871 meter panjang.

Ia berjaya dilaksanakan kurang dua bulan selepas penembusan terowong ECRL yang pertama pada April lalu, iaitu Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kerja-kerja keseluruhan infrastruktur untuk terowong itu dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2022, lebih awal daripada jadual tanpa mengambil kira sebarang situasi luar jangka.

"Kami berbangga kerana projek ECRL mencapai tahap kemajuan lebih awal dari yang dijadualkan iaitu 22.62 peratus pada Mei 2021, walaupun berada dalam situasi pandemik.

"Kerja keras warga ECRL termasuk jurutera, perancang dan pekerja pembinaan di Terowong Dungun harus dipuji kerana kerja-kerja menggali terowong berjaya dilakukan secara selamat dengan pergerakan tanah yang minima.

"Projek ECRL ini mempunyai 58 terowong dengan panjang dan lanskap yang berbeza untuk dibina di sepanjang jajaran ECRL yang merangkumi 665 kilometer.

"Namun, kerjasama yang padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Constructions (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ERL) melancarkan kerja penggalian terowong dan memastikan prestasi kejuruteraan adalah seperti dijadualkan atau lebih awal dari jadual," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kakitangan ECRL berjaya melaksanakan kerja menggali terowong secara selamat.
Kakitangan ECRL berjaya melaksanakan kerja menggali terowong secara selamat.

Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan berkata, kakitangan mereka telah memberikan usaha yang berterusan kepada kontraktor-kontraktor tempatan dan rakan kongsi projek Bumiputera.

"Kami berterima kasih terhadap sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh subkontraktor serta kakitangan Seksyen 4 untuk dua pencapaian yang amat membanggakan dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Terowong Dungun pernah menjadi tapak pelancaran semula projek ECRL pada Julai 2019.

Bagi mengelakkan penebangan terbuka serta memelihara hutan simpan ketika melintasi kawasan Kuala Dungun, Terowong Dungun telah dibina dengan ketinggian ketinggian 11.8 meter dan kelebaran 12.9 meter

Malah, Terengganu bakal mempunyai lima terowong ECRL apabila projek siap kelak.

MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala, CCC-ECRL adalah kontraktor EPCC.

Dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026, projek ECRL yang merangkumi rangkaian rel sepanjang 665 km akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

ECRL menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa empat jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:30 PM