Bangunan Kenanga Investment Bank.
Bangunan Kenanga Investment Bank.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak terkawal (PATNCI atau untung bersih) sebanyak RM34.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 (S121), peningkatan sebanyak RM41.1 juta berbanding kerugian bersih RM6.9 juta pada suku pertama 2020.

Kerugian bersih terdahulu disebabkan terutamanya oleh peruntukan perbelanjaan kerugian kredit yang telah dibalikkan secara progresif dalam tempoh beberapa suku tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, hasil disatukan bagi suku tahun dalam tinjauan meningkat sebanyak 51.3 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM250.1 juta pada S121.

"Pulangan Tahunan atas Ekuiti (ROE) adalah sebanyak 13.8 peratus, berbanding sebanyak 10.7 peratus bagi tahun penuh 2020.

"Prestasi kukuh ini disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembrokeran saham dan segmen pengurusan pelaburan serta kekayaan, selain bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade," katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong
Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong

Menurutnya, bahagian pembrokeran saham Kenanga terus meraih manfaat daripada aktiviti pelaburan yang rancak di Bursa Malaysia.

"Pada S121, bursa tempatan menyaksikan purata nilai dagangan harian (ADV) mencapai RM10 bilion, iaitu lebih tinggi daripada ADV sebanyak RM8.6 juta yang dicatat sepanjang tahun 2020.

"Hasilnya, keuntungan sebelum cukai (PBT) S121 daripada segmen berkenaan melonjak kepada RM34.3 juta, berbanding dengan kerugian sebelum cukai (LBT) berjumlah RM13.6 juta pada tempoh sama tahun lalu," katanya.

Katanya, PBT daripada bahagian pengurusan pelaburan dan kekayaan melonjak hampir lima belas kali daripada RM0.5 juta pada S120 kepada RM7.6 juta pada S121.

"Peningkatan ketara ini disebabkan terutamanya oleh penjanaan pendapatan daripada cas pengurusan yang lebih tinggi.

"Pada S121, purata akaun baharu yang dibuka setiap bulan ialah 10,457 bagi usaha sama Kumpulan, Rakuten Trade, iaitu lebih tinggi daripada purata pendaftaran sebanyak 9,893 akaun baharu sebulan yang dicatatkan pada tahun 2020 yang luar biasa," katanya.

Chay berkata, strategi digital yang dilaksanakan ternyata sangat berkesan dalam tempoh mencabar ini.

"Pelaburan teknologi yang dibuat pada tahun-tahun terdahulu seperti portal remisier membolehkan kami bekerja secara jarak jauh sebelum kaedah ini menjadi norma baharu.

"Kini kami terus mengendalikan pendaftaran akaun yang tinggi dan mengurus perkhidmatan klien dengan lancar meskipun berdepan dengan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, susulan lonjakan momentum pelaksanaan program pemvaksinan kebangsaan, pihaknya optimistik namun mengambil sikap berhati-hati mengenai kesihatan ekonomi secara keseluruhan bagi separuh kedua tahun ini.

"Dengan sokongan inisiatif digital yang sedang dilaksanakan, kami berada pada landasan yang kukuh untuk memantapkan ekosistem kami, mengekalkan pertumbuhan dan mencapai sasaran bagi tahun 2021," katanya.

Pada bulan lalu, subsidiari milik penuh Kumpulan, iaitu Kenanga Investors Berhad, telah melancarkan Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan, sekali gus meluaskan lagi pelaburan patuh Syariah Kumpulan.

Dana Waqf Al-Ihsan ialah jentera berasaskan kedermawanan Islamik yang tertumpu kepada bidang seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

Dana ini akan berfungsi sebagai platform bagi produk berkaitan ESG yang lain sebagai sebahagian daripada usaha Kenanga Investors ke arah pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab dari segi sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:51 PM