Menara Kenanga.
Menara Kenanga.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) mengumumkan peningkatan sebanyak 49.4 peratus keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATNCI) bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun 2021 (S2 2021) kepada RM30.6 juta, berbanding RM20.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (ST1 2021), keuntungan bersih meningkat sebanyak empat kali kepada RM64.7 juta, daripada RM13.5 juta pada ST1 2020.

Hasil disatukan bagi S2 2021 berjumlah RM212.6 juta, lebih tinggi daripada RM210.6 juta pada S2 2020.

Pulangan Tahunan ke atas Ekuiti (ROE) adalah sebanyak 12.8 peratus, berbanding sepanjang tahun 2020 sebanyak 10.7 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong berkata, perolehan yang lebih kukuh sebahagian besarnya disebabkan oleh sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan pembrokeran saham, pelaburan dan pengurusan kekayaan selain bahagian keuntungan lebih tinggi daripada usaha sama dengan Rakuten Trade.

"Lebih separuh daripada keuntungan sebelum cukai (PBT) disumbangkan oleh segmen pembrokeran saham, yang terus menjadi penyumbang perolehan utama Kumpulan.

"PBT daripada segmen ini meningkat sebanyak 45.3 peratus kepada RM20.0 juta pada S2 2021, berbanding dengan RM13.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi dan juga pendapatan dagangan dan pelaburan.

"Sumbangan PBT daripada bahagian pelaburan dan pengurusan kekayaan meningkat lebih dua kali kepada RM6.2 juta disebabkan oleh penjanaan pendapatan yuran pengurusan lebih tinggi disokong oleh peningkatan aset di bawah kekuatan agensi pengurusan dan jualan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong.
Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong.

Rakuten Trade, usaha sama (JV) Kumpulan dan broker ekuiti Malaysia dalam talian sepenuhnya yang pertama, terus mencatatkan pembukaan akaun bulanan purata yang kukuh sebanyak 6,800 akaun bagi S2 2021.

Pada akhir Jun 2021, Rakuten mempunyai jumlah keseluruhan 217,400 akaun, iaitu 51,600 melebihi jumlah yang diperolehnya pada tahun lalu.

"Kami berasa gembira bahawa Kumpulan terus melaporkan pelbagai keputusan yang membanggakan pada suku kedua.

"Ekonomi skala, terutamanya dalam bahagian pembrokeran saham dan Rakuten Trade, telah membantu mempertingkatkan keuntungan Kumpulan.

"Dengan infrastruktur digital berada pada kedudukan kukuh, kos memperoleh dan mengekalkan pelanggan baharu telah berkurang seiring perkembangan kami.

"Meskipun nilai dagangan harian purata di Bursa Malaysia telah berkurang berikutan kebimbangan sekatan pergerakan yang timbul akibat daripada penularan semula jangkitan Covid-19 di Malaysia, kami terus berharap bahawa ekonomi akan kembali pulih dengan segera berikutan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan terus mencatatkan peningkatan.

"Melihat ke hadapan, kami akan kekal memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh asas perniagaan kami dan mengembangkan penawaran semasa kami bagi memastikan kami kekal berdaya tahan dan tangkas dalam

memberikan respons kepada keperluan yang berubah-ubah dalam perniagaan teras yang kami laksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 2:50 PM