NAZRI Noran.
NAZRI Noran.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad, mengumumkan pelantikan Nazri Noran dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif RIPPLE dan Aaron Pinto sebagai Ketua Pegawai Kandungan RIPPLE berkuat kuasa 1 Jun 2021.

Bagi memacu pemulihan perniagaan platform radio itu, kumpulan juga melantik Datuk Jake Abdullah sebagai pakar runding kepada RIPPLE.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Media Prima, Rafiq Razali, berkata, pihaknya dengan sukacita mengalu-alukan kehadiran Nazri, Aaron dan Jake sebagai pasukan RIPPLE.

"Pelantikan ketiga-tiga personaliti yang terkenal dalam industri penyiaran radio akan memacu kemajuan berdasarkan keutamaan strategik penting dan membantu transformasi operasi RIPPLE di dalam industri penyiaran radio yang semakin berkembang.

"Kumpulan juga mengumumkan Seelan Paul, bekas Ketua Pegawai Eksekutif RIPPLE, ditukar ke Rangkaian Televisyen Media Prima dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, ntv7 berkuat kuasa 1 Mei 2021," katanya dalam kenyataan.

Nazri mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri hiburan.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran radio dan dikenali kerana kepakaran menyediakan kandungan yang berjaya menawan hati pendengar tempatan.

Nazri sebelum ini bertugas sebagai Penolong Kanan Timbalan Presiden, Astro Radio bahagian Radio Melayu dan Tamil, di mana beliau mengetuai jenama radio ERA, Sinar, Gegar, ZAYAN dan Raaga.

Beliau memulakan kariernya di Astro Radio pada 2002 dan menjawat pelbagai jawatan di hitz FM, Xfresh FM dan Sinar FM.

Dalam peranan barunya di Media Prima, Nazri akan bertanggungjawab ke atas strategi dan operasi keseluruhan RIPPLE dalam mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rangkaian radio yang popular.

AARON Pinto
AARON Pinto

Sementara itu, Aaron yang akan melapor kepada Nazri, mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam industri radio dan bertanggungjawab dalam mentransformasi jenama dan produk radio untuk menaikkan semula pertumbuhan jumlah pendengar dan perolehan.

Beliau sebelum ini adalah Ketua Kandungan, Astro Radio dan mengetuai strategi pembangunan kandungan dan bakat bagi 12 jenama Astro Radio.

Aaron mengetuai pasukan Astro Radio dalam inisiatif transformasi digital yang membabitkan langkah penyusunan semula ekosistem keseluruhan kandungannya bagi membangunkan rangkaian produk audio dan perkhidmatan untuk mengembangkan capaian digitalnya.

JAKE Abdullah.
JAKE Abdullah.

Jake adalah seorang veteran dalam industri media dan penyiaran dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam penubuhan beberapa stesen radio yang berprestij dan peneraju pasaran di Asia.

Beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Pyjama Media Sdn Bhd dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Astro Radio.

Sebagai pakar runding kepada RIPPLE, Jake akan memberikan khidmat pakar runding dan membantu merangka strategi berkaitan kandungan, penjenamaan dan pendengar radio.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 2:17 PM