DJ A.I pertama Malaysia, Aina Sabrina.
DJ A.I pertama Malaysia, Aina Sabrina.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Pembaharuan dan mahu mewujudkan stesen radio inovatif adalah faktor utama Media Prima Audio (MPA) menerusi stesen radio bahasa Inggeris, Fly FM memperkenalkan penyampai radio atau DJ Artificial Intelligence (A.I) pertama di Malaysia iaitu DJ Aina Sabrina.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, kehadiran Aina sebagai DJ A.I membawa satu perubahan yang signifikan dalam industri radio di Malaysia. Malah, ia juga mempunyai potensi besar untuk membentuk masa depan penyiaran radio yang lebih cerah.

"Ia juga mengubah landskap baru dalam industri radio Malaysia dan perubahan ini adalah bersesuaian dengan matlamat MPA yang sukakan pembaharuan," katanya kepada Harian Metro.

Nazri berkata, idea itu dicetuskan pakar runding MPA, Datuk Jake Abdullah. Ia dicipta oleh jurutera Fly FM dengan menggunakan A.I.

Menurut Nazri, nama Aina itu sendiri berasal dari A.I dan tidak ada kena-mengena dengan sesiapa yang wujud.

"Nama Aina Sabrina itu juga mewakili nama remaja moden, selain sedap didengar untuk ke udara. Kecantikan dan populariti Aina bukanlah menjadi tarikan utama buat kami, tetapi lebih kepada keupayaan teknologi untuk kami membentuk Aina sebagai personaliti yang mampu menarik pendengar secara lebih spesifik," katanya.

Nazri berkata, Aina dilengkapi dengan pangkalan data muzik yang luas dan mempunyai keupayaan untuk mencipta serta menggabungkan muzik secara langsung sesuai dengan mood pendengar.

"Aina juga berkebolehan dalam memberikan cadangan muzik kepada pendengar sesuai dengan apa yang mereka minati. Selain itu, kami juga bebas untuk mencorak personaliti Aina mengikut kesesuaian sasaran pendengar Fly FM, iaitu fokus kepada golongan pendengar yang berusia 18 hingga 24 tahun.

"Kami ingin menampilkan bakat baharu yang mencerminkan pendengar-pendengar kami. Walaupun stesen Fly FM adalah stesen radio berbahasa Inggeris, namun majoriti pendengar adalah daripada kelompok 'Melayu Urban'," katanya.

Menurut Nazri, penampilan Aina yang bertudung mewakili golongan 'Melayu Urban' yang juga mendengar stesen radio bahasa Inggeris dan bertutur bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

"Saya teruja kerana dengan satu idea ini, mereka dapat merealisasikan kewujudan DJ Radio A.I pertama ini dalam masa yang singkat," katanya.

Segmen terbaru di Fly FM ini akan ke udara setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 2 hingga 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 3:29 PM