Nazri Noran
Nazri Noran
Najiy Jefri


Petaling Jaya: Ketua Pegawai Eksekutif RIPPLE, Nazri Noran akan menyemak semula proses kandungan dan barisan selebriti sedia ada di platform radio Media Prima Berhad.

Nazri yang menjawat jawatan itu sejak 1 Jun lalu berkata, bagi mengukuhkan kedudukan rangkaian radio RIPPLE, pihaknya sudah mempunyai beberapa strategi dan operasi yang bakal digerakkan.

"Bagi memacu pemulihan perniagaan RIPPLE, langkah pertama yang bakal diambil adalah proses penilaian semua kandungan dan barisan personaliti sedia ada untuk tampil lebih segar.

"Program radio juga akan diberi nafas baharu khusus untuk generasi masa kini. Antara strategi penting yang akan digerakkan adalah memperkuatkan kerjasama antara semua platform rangkaian radio dalam misi merebut tempat sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia," katanya.

Menurut Nazri, menerusi rangkaian radio RIPPLE beliau turut melihat potensi besar untuk membangunkan rangkaian produk-produk audio dan perkhidmatan bagi membangunkan capaian digital. "Saya mempunyai pelbagai perancangan baru yang ingin dilaksanakan. Kami berharap penambahbaikan akan menawan hati pendengar tempatan," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri hiburan.

Sebelum ini, Nazri pernah bertugas sebagai Penolong Kanan Timbalan Presiden, Astro Radio Bahagian Radio Melayu dan Tamil, di mana beliau mengetuai jenama radio ERA, Sinar, Gegar, ZAYAN dan Raaga.

Beliau memulakan kariernya di Astro Radio pada 2002 dan menjawat pelbagai jawatan di Hitz FM, Xfresh FM dan Sinar FM.

Menerusi peranan baharu dalam MPB, Nazri bertanggungjawab atas strategi dan operasi keseluruhan RIPPLE dalam mengukuhkan kedudukan sebagai rangkaian radio popular.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 3:21 PM