Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beramah mesra bersama kakitangan YaPEIM di ruang pameran ketika majlis pelancaran produk Akaun Emas YaPEIM (SERY) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, beramah mesra bersama kakitangan YaPEIM di ruang pameran ketika majlis pelancaran produk Akaun Emas YaPEIM (SERY) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kuala Lumpur: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyasarkan transaksi sebanyak RM8.5 juta menerusi pengenalan produk Akaun Emas YaPEIM (SERY) untuk tahun pertama ini.

Akaun SERY adalah satu bentuk simpanan emas yang boleh dibeli secara digital melalui platform digital YaPEIM DiY@ dan boleh juga ditukar kepada emas fizikal bagi emas yang dibeli secara digital dengan caj berpatutan.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, akaun SERY adalah simpanan emas yang pertama di negara ini di mana transaksi jual beli emas daripada serendah RM5 serta boleh dipantau secara dalam talian.

Katanya, pelanggan juga boleh menyimpan emas mereka secara fizikal di seluruh 212 cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara.

"Pelanggan boleh membuat pilihan sama ada menjual emas terbabit secara beperingkat atau tidak menjualnya untuk tempoh 24 bulan dengan caj berpatutan.

"Pembelian emas menerusi akaun SERY ini boleh dibuat melalui perbankan atas talian yang disediakan oleh Platform YaPEIMPay dengan kerjasama rakan strategik perbankan kami.

"Dalam masa sama pelanggan akaun ini juga boleh memantau akaun emas mereka pada bila-bila masa melalui aplikasi web dan mudah alih, selain boleh membeli emas pada bila-bila masa di mana sahaja tanpa perlu hadir ke cawangan," katanya selepas pelancaran akaun SERY dan kad syiling emas 0.25 gram Qaseh Raya YaPEIM di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

YaPEIM Gold yang juga institusi milik penuh YaPEIM turut memperkenalkan inisiatif kad syiling emas 0.25 gram Qaseh Raya YaPEIM berharga RM100.

Kad syiling emas itu hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu sebanyak 1,000 keping di mana ia boleh didapati oleh pengumpul koleksi emas bermula 1 April 2021.

Mereka yang berminat boleh membeli di premis YaPEIM Gold di NU Sentral, YaPEIM Gold Akses di cawangan Ar Rahnu YaPEIM, Bandar Tun Razak dan platform digital DiY@.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 7:51 AM