PARIHAH pada sesi taklimat mengenai produk terbaharu Ar Rahnu YaPEIM.
PARIHAH pada sesi taklimat mengenai produk terbaharu Ar Rahnu YaPEIM.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperkenalkan tiga produk baharu Ar Rahnu iaitu Ar Rahnu Bisnes, Ar Rahnu Emas dan Ar Rahnu Didik sebagai produk tambahan kepada gadaian sedia adanya dengan semua produk terbabit menawarkan kelebihan yang dikhususkan kepada pelanggan.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hasan berkata, ketiga-tiga produk itu menawarkan kelebihan seperti margin pinjaman yang tinggi, upah simpan berbeza mengikut produk dan bersesuaian dengan kehendak pelanggan.

“Sambutan yang diterima daripada orang ramai terhadap barisan produk terbaharu ini adalah amat menggalakkan di mana ia mencatatkan 16,032 jumlah transaksi, RM53 juta jumlah pinjaman dan RM68 juta nilai marhun (aset) dalam tempoh sebulan iaitu bermula Jun hingga Julai lalu,” katanya kepada media pada sesi taklimat mengenai produk terbaharu Ar Rahnu YaPEIM.

Katanya, produk Ar Rahnu Bisnes YaPEIM ditawarkan khusus kepada peniaga bertujuan untuk membantu pelanggan yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dengan margin pinjaman lebih besar iaitu sebanyak 80 peratus mengikut kluster pelanggan.

Menurutnya, produk yang memiliki tempoh gadaian 10 bulan dan had pinjaman sehingga RM150,000 (terkumpul) itu sudah mencatatkan 9,258 jumlah transaksi, RM38 juta (pinjaman) dan RM48 juta (nilai aset) dalam tempoh Jun hingga Julai lalu.

“Produk ini menjadi produk utama daripada tiga produk Ar Rahnu terbaharu kami setakat ini berikutan tujuan gadaian bagi mendapatkan modal perniagaan adalah yang pertama serta menyumbang 23 peratus jika ia dinilai berdasarkan laporan statistik bagi tujuan gadaian sehingga 31 Disember 2018,” katanya.

Parihah berkata, Ar Rahnu Emas YaPEIM pula menawarkan perkhidmatan dan produk kepada pelanggan YaPEIM Gold yang memerlukan pinjaman atau sumber kewangan melalui kaedah cagaran produk YaPEIM Gold seperti Gold Bar, Gold Coins dan barang kemas emas milik mereka.

“Produk yang sudah mencatatkan 1,048 transaksi, RM840,000 pinjaman dan RM1 juta nilai aset dalam tempoh sebulan itu menawarkan 80 peratus margin pinjaman, 10 bulan tempoh gadaian dan RM200,000 had pinjaman (terkumpul),” katanya.

Menurutnya, produk Ar Rahnu Didik YaPEIM menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan yang memerlukan pinjaman atau bantuan kewangan bagi tujuan pendidikan dengan margin pinjaman 75 peratus, tempoh gadaian 10 bulan dan had pinjaman RM100,000 (terkumpul).

“Tujuan gadaian bagi pengajian anak-anak menyumbang 21 peratus dan menjadi perkara kedua penting selepas modal perniagaan berdasarkan statistik kami dan berikutan itu, kami memperkenalkan produk ini yang sudah berjaya mencatatkan 5,726 transaksi, RM14 juta pinjaman dan RM19 juta nilai aset dalam tempoh Jun hingga Julai lalu.

“Secara keseluruhannya, kami menetapkan sasaran tinggi untuk barisan produk ini dan kami berharap pengenalannya dapat mempelbagaikan produk kami serta menjadikannya lebih kompetitif di pasaran,” katanya.

Sementara itu, YaPEIM menganjurkan program Foodbank YaPEIM 1.0 bermula Ogos lalu bertujuan membantu dalam meningkatkan sosio ekonomi ummah dengan meringankan bebanan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah dikenal pasti.

Parihah berkata, program yang memberi manfaat kepada 100,000 penerima manfaat di seluruh negara itu menyaksikan YaPEIM bekerjasama dengan pelbagai pihak memberi sumbangan berupada barangan keperluan harian kepada golongan B40 dan makanan sedia dimakan (RTE) kepada pelajar IPT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:30 AM