MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (tengah) bersama Mohd Redza Shah (kanan) dan Ketua Divisyen Kewangan YaPEIM, Idham Adnan Jamil selepas melancarkan Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa). - Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (tengah) bersama Mohd Redza Shah (kanan) dan Ketua Divisyen Kewangan YaPEIM, Idham Adnan Jamil selepas melancarkan Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa). - Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyasarkan 100,000 pelanggan mendaftar dalam Aplikasi Digital YaPEIM (DiYa) bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, matlamat itu akan dapat dicapai menerusi kolaborasi dengan institusi kewangan terutama yang mempunyai lesen digital.

"Sejak aplikasi ini digunakan secara rasmi pada tahun lalu, kita mempunyai 13,546 pelanggan mendaftar dan menggunakan aplikasi ini.

"Sasaran kami untuk tingkatkan jumlah pendaftaran DiYa kepada 100,000 pelanggan sehingga Jun 2023 dengan melaksanakan kolaborasi dengan pihak institusi kewangan berlesen digital atau sedia ada.

"Perbincangaan lanjut belum diadakan dan insyAllah kita akan laksanakan apabila tiba masanya dan antara kriteria utamanya ialah perbankan Islam," katanya selepas Majlis Pelancaran Aplikasi DiYa, di sini.

Katanya, YaPEIM turut menyasarkan peningkatan budaya menyimpan emas dalam kalangan rakyat Malaysia selepas melihat trend peningkatan transaksi pendepositan dan penjualan emas sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Dalam data kami kira-kira 30 peratus peningkatan pelanggan melabur dalam simpanan emas terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan.

"Ini satu perkembangan baik dan kami akan kembangkan penyimpanan emas dalam rakyat Malaysia selain akan mewujudkan tabung penyimpanan emas untuk kakitangan kerajaan atau majikan GLC dan korporat di mana mereka boleh membuat potongan gaji.

"Melalui kaedah ini, rakyat Malaysia mempunyai simpanan hari tua bukan sahaja dalam bentuk KWSP malah emas juga sebagai satu lagi bentuk penyimpanan yang baik apabila dana mereka akan ditukarkan dalam simpanan emas," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata aplikasi DiYa membolehkan pelanggan mengakses produk Akaun Emas YaPEIM (SERY) untuk melakukan transaksi jual beli emas secara talian dengan mudah.

"Dengan aplikasi ini pelanggan boleh melihat maklumat produk termasuk harga semasa emas selain boleh membuat pembelian emas mengikut kemampuan mereka dengan modal serendah RM5 untuk pilihan mutu emas 999 atau 916 berbanding kebanyakan institusi lain hanga menawarkan penjualan mutu 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:20 AM