Malaysia menjadi negara ketiga paling menarik bagi pelaburan hotel di Asia Tenggara, selepas Thailand dan Singapura.

Menurut firma perunding hartanah global, Knight Frank Malaysia, ia adalah hasil dapatan Kaji Selidik Hasrat Pelaburan Hospitaliti Malaysia yang menganalisis perspektif pelaburan daripada pemilik hotel, pengendali dan pengendali-pemilik.

Sebanyak 14 peratus daripada responden kaji selidik itu didapati menjangkakan pembelian aset hotel dalam tempoh dua tahun akan datang manakala 16 peratus sedang mempertimbangkan pembelian dalam tempoh enam bulan akan datang meskipun dalam suasana pandemik Covid-19.

Knight Frank Malaysia menjelaskan kaji selidik itu yang dijalankan pada suku keempat 2020 menyediakan pandangan mengenai permintaan pelaburan, pilihan pelabur dan harga.

Menurutnya, ia juga menunjukkan bagaimana Covid-19 memberi kesan terhadap sektor berkenaan selain langkah yang boleh dilaksanakan untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan.

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank Malaysia, James Buckley berkata, pelabur yang mempunyai modal yang baik dan bijak membuat tinjauan melangkaui pandemik selain melihat ini sebagai peluang untuk memperoleh aset hotel utama pada harga lebih berpatutan.

"Kami percaya harga hotel di Malaysia yang dijual akan mengalami diskaun 10 hingga 30 peratus daripada nilai sebelum Covid-19 berlaku," katanya dalam kenyataan.

Perunding hartanah itu juga menekankan beberapa kriteria diketengahkan sebagai faktor penting dalam pemilihan untuk mewujudkan operasi hotel di sesebuah negara.

"Sebanyak 89 peratus responden mengatakan ketibaan pelancong dan akses penerbangan sangat penting dalam membuat keputusan berkaitan pelaburan.

"Ini diikuti oleh inisiatif mesra pelabur oleh kerajaan yang berperanan penting dalam menggalakkan operasi dan pelaburan hotel memandangkan ia meredakan kesan sentimen pasaran," katanya.

Menurutnya, hampir separuh responden kekal positif terhadap unjuran sektor hospitaliti bagi 12 bulan akan datang dengan 45 peratus responden berpandangan sektor ini sedang dalam pemulihan, walaupun bergantung kepada kemajuan pelaksanaan suntikan vaksin dan penarikan balik sekatan perjalanan antarabangsa.

"Dengan Malaysia mengenakan Perintah Kawaan Pergerakan 2.0 kecuali di Sarawak susulan berlaku peningkatan semula kes Covid-19 yang ketara, landasan ke arah pemulihan bagi industri pelancongan yang telah terjejas teruk akan menjadi lebih lama dan sukar.

"Langkah dan insentif kerajaan untuk menyokong industri mungkin lambat dan terlalu kecil memandangkan kami terus mendapat maklum balas lebih banyak hotel telah menutup operasinya buat sementara atau selamanya," katanya.

Katanya, hotel yang masih beroperasi pula secara giat mempromosikan pakej cuti inap dan bekerja dari hotel yang menarik di samping perkhidmtan penghantaran makanan untuk kekal bertahan serta menyokong pekerjaan.

"Dalam melangkah ke hadapan, apabila perjalanan antara negeri dibenarkan kelak, kami yakin pelancongan domestik akan menerajui pemulihan, disokong oleh Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 yang baru dilancarkan, bermatlamat meletakkan Malaysia sebagai antara destinasi ekopelancongan paling popular," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:15 AM