MEDAC akan terus campur tangan bagi membantu usahawan melalui Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi, lanjutan moratorium dan bantuan bayaran pembiayaan. FOTO Arkib NSTP
MEDAC akan terus campur tangan bagi membantu usahawan melalui Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi, lanjutan moratorium dan bantuan bayaran pembiayaan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan terus menyediakan bantuan kepada usahawan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk membantu memulakan semula perniagaan dengan produk atau perkhidmatan baharu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian juga akan terus campur tangan bagi membantu usahawan melalui Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi, lanjutan moratorium dan bantuan bayaran pembiayaan.

"Kami komited menyediakan fasilitasi dan bantuan perniagaan secara bersasar bagi memastikan pemulihan dan pengekalan operasi perniagaan.

"Ia termasuk menyediakan kemudahan lanjutan moratorium dan bantuan bayaran pembiayaan bersasar di bawah Bank Rakyat dan SME Bank.

"Kita juga menyediakan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan untuk koperasi di bawah Suruhanjaya koperasi Malaysia (SKM).

"Bagi usahawan gulung tikar, bimbingan dan latihan secara terus serta pembiayaan berstruktur akan diberikan bagi membantu mereka memulakan semula perniagaan dengan produk atau perkhidmatan baharu.

"Bagi menangani impak kepada usahawan tidak formal pula, garis panduan dan kerangka kerja yang berbentuk fasilitatif dan holistik sedang dibangunkan untuk membantu operasi perniagaan mereka supaya dengan lebih baik dan teratur," katanya pada sidang media secara maya mengenai Laporan Kaji Selidik Impak Pelaksanaan PKP Terhadap Usahawan di Malaysia, semalam.

Kaji selidik itu dilakukan pada 15 Februari hingga 5 Mac lalu membabitkan 3,855 responden dari seluruh negara dengan majoriti iaitu 58 peratus adalah perusahaan mikro manakala bakinya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi serta informal.

Mengulas mengenai kaji selidik itu, Wan Junaidi berkata, lebih 90 peratus usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta tidak formal berdepan risiko penutupan perniagaan jika PKP dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, majoriti usahawan PMKS serta tidak formal daripada pelbagai sektor ekonomi gusar dengan kelangsungan operasi perniagaan mereka.

"Sejumlah 54 peratus pula, terutama perusahaan mikro menyatakan mampu bertahan tiga hingga enam bulan.

"Keadaan ini dikhuatiri menyumbang kehilangan pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk di Malaysia. Penemuan kaji selidik ini membimbangkan kita.

"Bagaimanapun, kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik dengan menguatkuasakan PKP lebih ketat berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19," katanya.

"Pada masa sama, kerajaan tetap komited menumpukan usaha bagi menyeimbangkan antara kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 9:34 AM