PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) akan terus memberi tumpuan kepada pelaburan jangka panjang meskipun berdepan cabaran jangka pendek dan sederhana seperti krisis Covid-19.

Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, pelaburan yang disuntik PNB kekal memberangsangkan walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi dan ke Justeru, katanya, PNB akan mempelbagaikan kepada kelas aset lain selain aset global bagi mengukuhkan keupayaan pengurusan risikonya bagi mengimbangi pasaran kewangan dan ekonomi yang kurang memberangsangkan ekoran pandemik, ketegangan geopolitik serta kadar faedah rendah.

"Fokus PNB ketika ini strategi pelaburan jangka panjang dengan memberi penilaian kepada asas pelaburan untuk menjana pendapatan.

"Ini penting kerana kami mahu memberi tumpuan kepada strategi jangka panjang bagi memberikan pulangan kompetitif kepada pemegang amanah.

"PNB juga akan meneroka industri baharu muncul dan mengukuhkan keupayaan pengurusan risiko. Tahun ini sudah membuktikan keupayaan kami menguruskan pelaburan walaupun keadaan ekonomi yang serba mencabar," katanya selepas pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) secara maya, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Dalam tahun yang terkesan dengan Covid-19, Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB sehingga November 2020 mencecah RM320.5 bilion, meningkat 2.7 peratus berbanding RM312 bilion tahun kewangan sebelumnya.

Unit dalam edaran bagi 15 dana amanah meningkat 3.4 peratus kepada 263.2 bilion unit dengan lebih daripada 200,000 akaun baharu didaftarkan sepanjang tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 14.5 juta akaun, dengan 12.2 juta pemegang akaun unik.

Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata, pihaknya meraih 3 pencapaian utama PNB dalam persekitaran operasi yang sukar pada 2020.

"Pertama, PNB terus membuat kemajuan yang baik dalam kepelbagaian portfolio kami, menyelaraskan semula pelaburan kami secara strategik dari segi geografi dan kelas aset untuk mencapai matlamat pelaburan kami.

"Pendedahan global agregat PNB meningkat kepada 11.9 peratus pada 2020 berbanding 8.1 peratus pada 2019 dengan sumbangan pendapatan lebih besar dari aset pelaburan globalnya.

"Selain itu, kami dapat meningkatkan AUM kami secara berterusan kepada lebih daripada RM320 bilion yang mencerminkan kepercayaan berterusan pemegang unit kami," katanya.

Menurutnya, PNB terus meningkatkan usaha memperkaya dan meningkatkan pengalaman pemegang unit dan memberikan nilai kepada mereka melalui rangkaian penawaran dan perkhidmatan produk baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:46 AM