TENGKU Zafrul harap pemilik perniagaan mikro mengambil peluang untuk perkara ini.
TENGKU Zafrul harap pemilik perniagaan mikro mengambil peluang untuk perkara ini.

SALAH isi maklumat dalam borang antara punca permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro tidak diluluskan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz berkata, beliau dimaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa antara sebab permohonan tidak lulus adalah kesilapan mengisi maklumat.

"Sebagai contoh, syarikat didaftar sebagai 'sendirian berhad' diisi sebagai 'perkongsian' dalam borang permohonan asal.

"Dalam portal rayuan, perayu boleh mengemukakan sijil syarikat berkenaan untuk pertimbangan LHDN.

"Saya harap pemilik perniagaan mikro mengambil peluang untuk perkara ini," katanya dalam perkongsian Laporan Laksana Kelapan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di Facebooknya semalam.

Menurutnya, LHDN menerima 81,260 permohonan dengan 35,800 daripadanya atau 44 peratus diluluskan.

"Mereka boleh membuat semakan mulai semalam. Bagi mereka yang lulus, bayaran dibuat hujung bulan ini.

"Tempoh rayuan dibuka sehingga 15 Jun melalui portal rasmi LHDN iaitu gkp.hasil.gov.my," katanya.

GKP adalah bantuan kewangan secara sekali berjumlah RM3,000 kepada setiap PKS mikro berkelayakan bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:10 AM