GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang tidak pernah menerima Geran Khas Prihatin (GKP) sebelum ini, boleh mengemukakan permohonan bagi GKP 3.0 secara dalam talian melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my/ mulai 1 hingga 15 April 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran GKP 3.0 akan mula dibuat pada bulan Jun 2021 yang dijangka akan memanfaatkan hampir 1.2 juta PKS mikro.

"Jumlah keseluruhan GKP 3.0 akan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 bilion.

"Mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0, GKP Tambahan dan GKP 3.0, jumlah keseluruhan bantuan kewangan GKP yang telah dan akan memanfaatkan lebih kurang 1.2 juta PKS mikro adalah sebanyak RM4.78 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP sebelum ini juga masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk semakan semula.

"PKS mikro yang layak untuk GKP 3.0 adalah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) setakat 28 Februari 2021," katanya.

Menurutnya, di bawah Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kerajaan terus komited untuk menyokong sektor perniagaan khususnya PKS mikro tempatan melalui GKP 3.0.

"Bantuan ini disediakan untuk meringankan beban kewangan PKS mikro agar mereka mampu menggiatkan semula perniagaan di dalam tempoh yang masih mencabar ini.

"Setiap PKS mikro yang layak akan menerima bantuan one-off GKP 3.0 sebanyak RM1,000.

"Penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 akan menerima bayaran tambahan RM1,000 tanpa perlu membuat permohonan semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 8:31 PM