Syarifah Dayana Syed Bakri


SALAH isi maklumat dalam borang adalah antara punca permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro tidak diluluskan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abd Aziz berkata, beliau dimaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa antara sebab-sebab permohonan tidak lulus adalah salah isi maklumat dalam borang.

"Sebagai contoh, syarikat yang didaftar sebagai 'sendirian berhad' diisi sebagai 'perkongsian' dalam borang permohonan asal.

"Dalam portal rayuan, perayu boleh mengemukakan sijil syarikat berkenaan untuk pertimbangan lanjut LHDN.

TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Saya berharap pemilik perniagaan mikro mengambil peluang untuk perkara ini," katanya dalam perkongsian Laporan Laksana Kelapan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat

(Prihatin) di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, LHDN menerima 81,260 permohonan dengan 35,800 daripadanya atau 44 peratus sudah diluluskan.

"Mereka boleh mula membuat semakan mulai hari ini (9 Jun). Bagi mereka yang lulus, bayaran akan dibuat pada hujung bulan ini.

"Tempoh rayuan masih dibuka sehingga 15 Jun melalui portal rasmi LHDN iaitu gkp.hasil.gov.my," katanya.

GKP adalah bantuan kewangan secara sekali berjumlah RM3,000 kepada setiap PKS mikro berkelayakan bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 2:12 PM