Bisnes HM


PENGURANGAN kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tujuh peratus yang diumumkan pada pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, baru-baru ini akan berkuatkuasa mulai upah pekerja bulan April 2020 bagi caruman Mei 2020.

Ia akan dilaksanakan sehingga upah pekerja bulan Disember 2020 bagi caruman Januari 2021.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, kadar caruman berkanun syer pekerja baharu ini adalah terpakai untuk pekerja berumur bawah 60 tahun yang wajib mencarum.

“Bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, kadar caruman adalah kekal seperti sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ahli boleh membuat pilihan untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2020).

“Borang ini hendaklah dikemukakan kepada KWSP melalui majikan masing-masing dan berkuatkuasa mulai bulan berikutnya.

“Ia boleh dimuat turun daripada laman sesawang kwsp.gov.my pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 5:38 PM