DR Mahathir (kanan) menerima buku Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra, semalam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
DR Mahathir (kanan) menerima buku Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra, semalam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

CARUMAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikurangkan kepada tujuh peratus berbanding 11 peratus ketika ini, sebagai langkah merangsang permintaan domestik.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengurangan caruman itu bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum sehingga akhir tahun ini.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi 2020 bertema Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan di Putrajaya, semalam.

Sementara itu, KWSP dalam kenyataannya menjelaskan, kadar caruman berkanun baharu ini berkuatkuasa mulai 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini, untuk ahli yang berumur 59 tahun dan ke bawah.

Ia berkata, kadar caruman pekerja bagi ahli berumur 60 tahun dan ke atas tidak berubah.

“Keputusan mengurangkan kadar caruman berkanun KWSP adalah berikutan pakej rangsangan ekonomi diumumkan kerajaan bertujuan untuk mengurangkan kesan kegawatan ekonomi berpunca daripada penularan Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Majikan hendaklah memastikan amaun caruman yang betul ditolak daripada upah/gaji pekerja berdasarkan kadar caruman baharu seperti dalam Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991,” kata KWSP.

KWSP berkata, pekerja boleh memilih mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi KadarBerkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:59 AM