SOGO Kuala Lumpur kekal sebagai cawangan terbesar. FOTO Syarafiq Abd Samad
SOGO Kuala Lumpur kekal sebagai cawangan terbesar. FOTO Syarafiq Abd Samad
Rosyahaida Abdullah


SOGO Malaysia meletakkan persediaan membuka cawangan baharu pusat beli-belah Sogo di Terengganu serta cawangan pertama Seibu di Kuala Lumpur sebagai antara fokus utama peluasan perniagaannya pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Kumpulannya, Datuk Andrew Lim Tatt Keong berkata, dua pusat beli-belah terbabit yang dijangka dibuka pada suku ketiga tahun depan kini dalam pembinaan membabitkan jumlah pelaburan hampir RM130 juta.

Menurutnya, pihaknya menekankan aspek kualiti, justeru jumlah cawangan yang dibuka setiap tahun bukan ukuran utama pihaknya dalam agenda peluasan perniagaan syarikat.

“Fokus kami tahun ini tertumpu kepada pelaburan dianggarkan hampir RM80 juta untuk pembangunan pusat beli-belah Sogo keempat di Kuala Terengganu dikenali sebagai NU Mayang Mall.

“Pusat beli-belah dengan keluasan lebih 700,000 kaki persegi ini diuruskan sepenuhnya oleh kami bagi pihak Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

“Selain itu, satu lagi pusat beli-belah terkemuka Jepun, Seibu juga akan mencatat sejarah tersendiri menerusi pembukaan cawangan pertama di negara ini di The Exchange TRX.

“Seibu menelan kos hampir RM50 juta di mana ia menjadi gedung utama kami menerusi penawaran jenama mewah terkemuka antarabangsa disertai konsep medan selera Jepun pertama di Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

Lim berkata, pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur kekal sebagai cawangan terbesarnya ketika ini dengan saiz satu juta kaki persegi.

Dalam pada itu, Lim juga berkata, pihaknya tidak bercadang membuka cawangan di Sabah dan Sarawak sebaliknya ingin fokus kepada Semenanjung.

“Buat masa sekarang, tiada perancangan ke arah itu. Meskipun banyak pihak menjemput kami ke sana, mengkaji dan berbincang, tetapi rasanya kami perlu fokus kepada Semenanjung.

“Pada pandangan lembaga pengarah, kami tidak mahu kedai yang banyak tetapi inginkan kedai berkualiti. Di dalam ruang 200,000 kaki persegi sudah cukup untuk kami bina satu kedai yang berkualiti,” katanya.

Ketika ini, Sogo Malaysia mengendalikan tiga pusat beli-belah Sogo beroperasi di Kuala Lumpur (Jalan Tuanku Abdul Rahman), Selangor (Central i-City, Shah Alam) dan Johor (Mid Valley Southkey, Johor Bahru).

Sogo Malaysia juga pemegang francais syarikat rangkaian runcit Jepun, Sogo & Seibu Co Ltd yang mengendalikan pusat beli-belah Sogo dan Seibu di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 6:01 AM