WILSON (dua dari kiri) pada majlis pengumuman penyewa baharu pusat beli-belah SCM di Shah Alam.
WILSON (dua dari kiri) pada majlis pengumuman penyewa baharu pusat beli-belah SCM di Shah Alam.
Nasuha Badrul Huzaini


SHAH ALAM: Pusat beli- belah Setia City Mall (SCM) bakal berubah wajah dengan penambahan ruang runcit seluas 450,000 kaki persegi (kps) dan menjadikannya destinasi santai terbesar di Shah Alam selepas siap sepenuhnya kelak.

Untuk tujuan itu, SCM yang dibangunkan secara usaha sama 50:50 antara SP Setia Bhd (SP Setia) dan Lendlease Malaysia (Lendlease) menerima pelaburan bernilai RM500 juta bagi pengembangan pusat beli-belah berkenaan.

Ketua Runcit Lendlease, Mitch Wilson berkata, SCM yang lebih besar boleh menampung kunjungan lebih 13 juta pengunjung setahun.

“Kami optimis dengan kejayaan pengembangan pusat beli-belah ini menerusi jalinan kerjasama antara Lendlease dan SP Setia.

“Pembinaan ruang baharu ini akan membawa masuk 150 lagi cawangan runcit baharu sebagai tambahan kepada 235 peruncit sedia ada pada masa ini.

“Ia bakal menempatkan lebih banyak jenama fesyen, ruang makan, ruang santai dan ruang keluarga. Kami menjangka pengembangan SCM akan mencipta destinasi komuniti yang meriah di sini,” katanya pada majlis pengumuman penyewa baharu di sini.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif SP Setia, Datuk Tan Hon Lim dan Ketua Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen.

Mengulas lanjut mengenai unjuran runcit SCM, Wilson berkata, pihaknya menerima sokongan kukuh peruncit di negara ini.

“Pada masa ini, kadar pajakan di pusat beli-belah ini melebihi 80 peratus dan ada beberapa rundingan lanjut yang berjalan.

“Prestasi ini memberangsangkan dan kami gembira kerana dalam tempoh kurang setahun lagi, kami akan meraikan pembukaan fasa baharu pusat beli-belah ini.

“Kami yakin dengan adanya pengembangan fasa baharu ini, kami akan terus mencapai prestasi cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 6:45 AM