ORANG ramai berkunjung di  pusat beli-belah SOGO selepas pembukaan di Central i-City, Shah Alam.
ORANG ramai berkunjung di pusat beli-belah SOGO selepas pembukaan di Central i-City, Shah Alam.
Syarifah Dayana


PENGENDALI gedung serbaneka terkemuka, SOGO (KL) Department Store Sdn Bhd (SOGO), secara rasmi membuka cawangan terbarunya di pusat beli-belah Central i-City.

Berkeluasan 200,000 kaki persegi dengan empat tingkat, SOGO menawarkan lebih 400 jenama barangan terdiri daripada kelengkapan rumah, fesyen, alat solek, minyak wangi, aksesori dan sebagainya.

Ketua Pegawai Operasinya, Toh Peng Koon berkata, gedung itu menjadikan jumlah keseluruhannya enam cawangan dan meningkatkan ruang runcit SOGO kepada 2.4 juta kaki persegi menjelang 2022.

Selain Central i-City, antara lokasi lain yang diumumkan sebelum ini adalah di Mid Valley Southkey (Johor Bahru), Tun Razak Exhange Lifestyle Quarter, Paragon@KL Northgate (Selayang), Mayang Mall (Kuala Terengganu) dan Prai Megamall (Pulau Pinang).

Katanya, semua gedung terbabit dijangka menjalankan operasi sama ada menggunakan jenama sOGO atau Seibu.

“Kami amat berhati-hati dalam aspek pemilihan lokasi bagi gedung terbaru kerana ia menjadi kunci kepada strategi operasi syarikat yang membuka cawangan di lokasi utama Lembah Klang dan bandar besar di Semenanjung Malaysia.

“Seperti Central i-City, lokasi strategiknya yang menghubungkan Shah Alam, Klang dan Kuala Lumpur itu bakal menarik lebih ramai pengunjung.

“Kami juga sentiasa ke depan bagi memenuhi destinasi sosial meliputi fesyen, gaya hidup, dan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Dalam memenuhi segala kehendak ini, syarikat sentiasa tampil dengan perancangan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan rangkaian produk dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Sementara itu, sempena pembukaan SOGO di Central i-city dan ulang tahun ke-25 syarikat itu, pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan termasuk baucar membeli-belah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:02 AM