KETUA Runcit Lendlease,   Mitch Wilson (kiri)   dan Tan selepas majlis taklimat penambahan ruang runcit baharu di pusat beli-belah SCM.
KETUA Runcit Lendlease, Mitch Wilson (kiri) dan Tan selepas majlis taklimat penambahan ruang runcit baharu di pusat beli-belah SCM.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Penambahan ruang runcit baharu di pusat beli-belah Setia City Mall (SCM) bukan sahaja mengubah landskap peruncitan di Shah Alam, malah ia berpotensi tinggi memberi nilai tambah kepada perbandaran di sekitarnya.

Pengembangan ruang runcit seluas 450,000 kaki persegi itu juga bakal menjadikan SCM sebagai pusat beli-belah terbesar di Shah Alam yang ketika ini mempunyai keluasan 730,000 kaki persegi.

SCM dibangunkan dengan usaha sama 50:50 antara SP Setia Bhd (SP Setia) dan Lendlease Malaysia (Lendlease) dan pelaburan bernilai RM500 juta diperuntukkan bagi pengembangan pusat beli-belah berkenaan.

Naib Presiden Eksekutif SP Setia, Datuk Tan Hon Lim berkata, pengembangan pusat beli-belah ini selaras dengan wawasan jangka panjang bahagian pelaburan hartanah SP Setia.

Beliau berkata, dengan lokasinya dalam perbandaran utama Setia Group yang berkeluasan 1,619 hektar, SCM dijangka menerima sambutan lebih memberangsangkan.

“Kami lihat ia dapat berkembang dengan konsisten apabila lebih ramai penduduk berpindah ke sini dengan jangkaan populasi 200,000 apabila siap sepenuhnya.

“Malah, lebih 80 peratus ruang runcit SCM yang sedia ada dan dalam fasa penambahan sudah disewa atau dalam proses perundingan lanjut,” katanya, baru-baru ini.

Hon Lim berkata, pengembangan SCM juga bertujuan meningkatkan kepelbagaian penyewa dan kemudahan serta membawakan pengalaman beli-belah lebih menarik dengan tawaran fesyen, makanan, aktiviti santai dan hiburan.

Menurutnya, pihaknya berharap usaha ini membawa pengalaman beli-belah lebih baik kepada setiap pengunjung SCM.

“Sayap baharu pusat beli-belah setinggi tiga tingkat ini menambahkan lagi 150 kedai runcit kepada 235 peruncit sedia ada, termasuk penyewa utama.

“Lebih menarik lagi, Lulu Hypermarket yang menguasai pasaran di rantau Asia Barat dan Utara Afrika (Mena, bakal menghuni ruang runcit berkeluasan 150,000 kaki persegi,” katanya.

Tambahnya, bagi menarik pengunjung berkeluarga, Kidz Zone, taman permainan sambil belajar kanak-kanak berkeluasan 12,000 kaki persegi turut disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 9:24 AM